Berita Semasa

Lebih 80 peratus majikan sambut baik Dasar Gaji Progresif – PM

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan kebimbangan dengan kadar gaji menengah golongan muda antara umur 20 hingga 24 tahun yang hanya sekitar RM1,682 sebulan.

Perdana Menteri berkata, bagi kebanyakan pekerja Malaysia, gaji hanya akan meningkat kepada RM3,500 pada paras tertinggi sekitar umur 40 hingga 49 tahun sepanjang kerjaya mereka.

“Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah berbincang mengenai cadangan Dasar Gaji Progresif (progressive wage policy) sebagai satu anjakan ke arah memulihkan pasaran pekerja supaya gaji pekerja
dapat ditingkatkan dengan lebih konsisten dan pengagihan gaji lebih seimbang.

“Dasar gaji progresif ini adalah bersifat sukarela (voluntary), berteraskan insentif (incentive-based), dan terkait dengan produktiviti (productivity-linked). Model dasar ini diusulkan setelah MTEN mengambil kira pandangan dan kepentingan pihak majikan dan pekerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar berkata, isu gaji merupakan perkara pokok yang tidak boleh diabaikan susulan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Pertama 2023 yang dibentangkan pada minggu lepas melaporkan lebih 2 juta pekerja Malaysia masih berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan.

Berikutan peratusan pendapatan pekerja Malaysia telah menurun daripada 37.2 peratus pada 2020 kepada 32.4 peratus pada 2022, katanya, kerajaan menetapkan sasaran nisbah ini agar meningkat kepada 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan.

Mengulas lanjut mengenai dasar itu, Anwar berkata, dasar itu merupakan pelengkap kepada Dasar Gaji Minimum dan akan disusuli dengan garis panduan gaji progresif tahunan bagi setiap sektor, pekerjaan dan peringkat.

“Sesi libat urus dan tinjauan awal telah menunjukkan sebanyak 62 peratus pekerja dan 80 peratus syarikat menyambut baik cadangan Dasar Gaji Progresif dengan ciri-ciri yang dinyatakan, dan MTEN berharap dasar ini akan menerima sambutan dan penyertaan sebanyak syarikat dan pekerja yang mungkin.

“Langkah selanjutnya adalah sesi perbincangan dan libat urus dengan pihak berkepentingan, terutamanya para pemain industri, perniagaan dan pekerja. Perkara ini akan dibawa ke jemaah menteri bagi memperhalusi mekanisma pelaksanaan secara berperingkat dan meneroka keperluan untuk memperuntukkan dana sebagai insentif dasar ini yang akan ditentukan berdasarkan kedudukan kewangan kerajaan dan keperluan
dasar.

“MTEN berpandangan bahawa Dasar Gaji Progresif merupakan salah satu reformasi pasaran pekerja untuk memastikan pekerja Malaysia tidak dibebankan dengan kos sara hidup dan dapat menikmati pekerjaan dengan
gaji yang bermaruah, demi kesejahteraan rakyat dan mencapai agenda mengangkat ekonomi negara,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button