Guru Malaysia di Yokohama terima nota xenofobia supaya tinggalkan Jepun
KUALA LUMPUR – Seorang guru Bahasa Inggeris warga Malaysia di Yokohama, Jepun berdepan detik cemas apabila menerima nota berbaur xenofobia yang mendesaknya meninggalkan negara itu susulan peningkatan sentimen anti-warga asing di Jepun.
Menurut laporan South China Morning Post (SCMP), guru yang dikenali sebagai Banden Tong itu mendedahkan nota tersebut dalam satu hantaran di akaun Threadsnya.
Katanya, nota berbahasa Jepun yang ditampal pada pintu rumah dan keretanya itu berbunyi:
“Faksi Konservatif Bandar Yokohama. Kepada warga asing, sila tinggalkan Jepun. Kamu tidak dialu-alukan di sini. Jepun tidak perlukan imigran. Cukai rakyat Jepun bukan untuk kamu. Pulanglah ke negara kamu.”
Banden berkata, dia menemui nota berkenaan sebaik pulang dari tempat kerja sebelum berkongsi kejadian itu di media sosial yang kemudian menerima lebih 800 komen, majoritinya memberi kata-kata sokongan.
Dalam luahannya, Banden melahirkan rasa sedih dan kecewa terhadap perbuatan diskriminasi tersebut.
“Wahai konservatif, adakah kamu berpuas hati sekarang? Kamu benar-benar telah menyakiti saya dengan mendalam.
“Saya dari Malaysia dan sejak kecil saya mengagumi Jepun. Ibu bapa saya juga mencintai budaya Jepun. Tahun lalu impian saya menjadi kenyataan apabila saya membeli rumah dan kereta di Yokohama. Saya bekerja sebagai guru Bahasa Inggeris dan gembira setiap hari bersama pelajar-pelajar saya,” katanya seperti dilaporkan Kosmo! Online.
Banden kemudian membuat laporan polis dan dimaklumkan bahawa rondaan keselamatan serta pemantauan akan dipertingkatkan di kawasan kediamannya.
Di sebalik insiden itu, ramai netizen Jepun tampil memberikan sokongan moral serta memohon maaf bagi pihak masyarakat negara itu.
“Sebagai orang Jepun, saya meminta maaf. Menilai orang sebagai satu kumpulan adalah tanda kemiskinan jiwa,” kata seorang pengguna media sosial.
Insiden menimpa Banden berlaku ketika Jepun sedang bergelut dengan perdebatan mengenai dasar imigresen, tenaga kerja asing dan identiti nasional.
Negara itu kini berdepan populasi yang menyusut dan menua, memaksa kerajaan memperluas skim visa kerja bagi mengisi kekurangan tenaga kerja dalam sektor seperti pembinaan dan penjagaan warga emas.
Walaupun warga asing hanya sekitar tiga peratus daripada populasi Jepun, sentimen anti-imigran dilaporkan semakin ketara dalam politik, termasuk kejayaan parti sayap kanan Sanseito yang membawa slogan nasionalis ‘Jepun Didahulukan’.
Dalam pilihan raya Dewan Atasan Julai lalu, parti itu menyaksikan lonjakan kerusi daripada satu kepada 14, mencerminkan perubahan arus sokongan terhadap agenda berteraskan nasionalisme.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








