BERITA SEMASA

Kembalikan UPSR: Peperiksaan bentuk disiplin, ukur penguasaan ilmu – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) wajar dikembalikan memandangkan ia memainkan banyak peranan dalam membentuk diri dan masa depan pelajar, kata Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurut Pengerusi MARA itu, alasan kononnya peperiksaan menjadikan murid seperti “burung kakak tua” adalah tidak munasabah kerana jika benar begitu, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga sepatutnya dimansuhkan.

“Peperiksaan seperti UPSR penting untuk mengukur tahap penguasaan ilmu pelajar. Ia tidak sepatutnya dihapuskan kerana memainkan peranan besar dalam pembentukan diri dan masa depan seseorang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, terdapat lima sebab utama mengapa UPSR wajar dikembalikan, termasuk peperiksaan membantu pelajar menilai sejauh mana mereka memahami dan menguasai ilmu yang telah dipelajari selain membantu guru mengenal pasti bahagian yang perlu diperbaiki.

“Kedua, peperiksaan mencanai disiplin dan tanggungjawab kerana proses persediaannya menuntut perancangan, usaha gigih serta pengurusan masa yang baik nilai penting dalam kehidupan sebenar.

“Ketiga, peperiksaan di peringkat sekolah rendah seperti UPSR juga menjadi penyaring kepada kemasukan ke sekolah berprestasi tinggi seperti Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan institusi vokasional,” katanya.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, ujian berstruktur juga mendorong pelajar berusaha lebih gigih dan bersaing secara sihat, sekali gus memupuk semangat ingin berjaya.

“Proses menghadapi peperiksaan mendidik pelajar erti sabar, tawakal dan redha, di samping mengajar mereka bahawa kejayaan tidak datang bergolek tanpa usaha berterusan,” jelas beliau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button