BERITA SEMASA

Tegas pertahan hak Sabah, Ewon Benedick umum letak jawatan selaku Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi

KOTA KINABALU – Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick hari ini mengumumkan peletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet susulan ketidaksefahaman terhadap pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung isu hak 40 peratus hasil Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ewon berkata, beliau berpegang teguh kepada prinsip dan matlamat penubuhan UPKO yang memperjuangkan pelaksanaan MA63 serta hak-hak Sabah sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sangat janggal untuk saya meneruskan keanggotaan dalam Kabinet Persekutuan dengan pendirian AGC yang mengabaikan sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia serta syarat-syarat persetujuan Sabah menyertai Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, selepas meneliti penghakiman bertulis Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Celestina Stuel Galid, terhadap semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS), jelas menunjukkan pandangan AGC bercanggah dengan semangat MA63 dan dokumen asas perlembagaan seperti Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan IGC, Perjanjian Malaysia 1963 dan Akta Malaysia.

Ewon menegaskan beliau tidak dapat bersetuju dengan pandangan AGC dan percaya pendirian itu akan kekal menjadi asas nasihat kepada Perdana Menteri serta Kerajaan Persekutuan.

“Pendekatan mereka terhadap hak 40 peratus Sabah selama tiga tahun saya berada dalam Kabinet sangat bertentangan dengan pendirian saya sebagai Presiden UPKO,” ujarnya.

Menurut Ewon, beliau pernah memfailkan Saman Pemula terhadap Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah pada Jun 2022 berkaitan hak 40 peratus tersebut dan hanya menarik balik tindakan itu pada September 2023 sebagai tanda komitmen terhadap proses perundingan.

Bagaimanapun, katanya, AGC seharusnya tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober lalu, sebaliknya memulakan rundingan dengan Kerajaan Sabah untuk melaksanakan hak berkenaan.

“Saya telah menyatakan pendirian bahawa saya tidak dapat menyokong sebarang keputusan yang bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi dan bersedia meletakkan jawatan daripada Kabinet,” tegas beliau.

Ewon turut memaklumkan bahawa beliau akan mengutus surat rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memaklumkan keputusan perletakan jawatannya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas peluang dan ruang yang diberikan untuk memperjuangkan isu hak Sabah sepanjang berada dalam Kabinet Persekutuan.

“Saya akan memanggil Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO pada Isnin minggu depan bagi membincangkan agenda Sabah First yang menjadi asas halatuju parti,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button