BERITA SEMASASUKAN

KBS sokong siasatan bebas diketuai Tun Md. Raus, jamin patuh statut FIFA

PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyokong penuh siasatan bebas yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif terhadap kes tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang digantung 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, KBS melalui Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) akan bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Siasatan Khas Bebas berkenaan.

Beliau berkata, hasil siasatan itu bakal menjadi asas kepada langkah-langkah pembetulan serta penambahbaikan yang perlu dilaksanakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Walau bagaimanapun, katanya, kerajaan perlu berhati-hati agar tindakan yang diambil tidak dianggap sebagai campur tangan, yang boleh mengundang risiko penggantungan FAM oleh FIFA.

“Sekiranya digantung, implikasinya bukan sahaja kepada skuad kebangsaan utama, malah turut menjejaskan pasukan bawah umur serta entiti lain seperti Malaysian Football League (MFL), Amateur Football League (AFL) dan kelab-kelab yang bertanding dalam Liga Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan yang dikemukakan FAM dan tujuh pemain terbabit berhubung kesalahan pemalsuan dokumen.

FAM diperintahkan untuk membayar denda sebanyak CHF 350,000 (RM1.8 juta) kepada FIFA seperti yang diputuskan Jawatankuasa Tatatertib FIFA sebelum ini.

Pemain terbabit iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garcas, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano pula digantung 12 bulan selain masing-masing diperintahkan untuk membayar denda sebanyak CHF 2,000 (RM10,411) kepada FIFA.

Menurut Hannah, sejarah menunjukkan beberapa negara sebelum ini pernah dikenakan tindakan tegas oleh FIFA akibat campur tangan kerajaan dalam urusan persatuan bola sepak masing-masing.

Antaranya, Indonesia digantung pada tahun 2015 selepas Kementerian Pemuda dan Olahraga negara itu membekukan persekutuan bola sepaknya; Zimbabwe (2022) selepas pentadbiran persekutuan diambil alih kerajaan; Chad (2021) apabila pasukan khas kerajaan ditubuhkan untuk menguruskan bola sepak; serta Benin (2015) dan Brunei (2009) yang turut menerima nasib sama akibat keputusan mahkamah dan campur tangan kerajaan.

“Kesemua contoh ini jelas menunjukkan bahawa FIFA tegas menegakkan Statut 15(c) yang menetapkan setiap persatuan bola sepak mesti bebas daripada sebarang bentuk pengaruh politik atau campur tangan kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, Hannah menegaskan KBS akan terus mengimbangi antara keperluan mematuhi peraturan antarabangsa dan tuntutan akauntabiliti dalam negara.

“KBS komited memastikan FAM memperkukuh tadbir urus serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap integriti dan kredibiliti bola sepak Malaysia,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button