Pengiktirafan ‘Muslim Choice’ tidak sah, boleh kelirukan pengguna – JAKIM
PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan pengiktirafan “Muslim Choice” yang diperkenalkan pertubuhan bukan kerajaan, Muslim Friendly Watch (MFW), tidak sah dan boleh menimbulkan kekeliruan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, JAKIM menerima maklumat berhubung inisiatif MFW yang memperkenalkan pengiktirafan tersebut kononnya bagi memberi keyakinan kepada pengguna bahawa produk atau premis yang menerima pengiktirafan itu adalah berkualiti, bersih, selamat dan selari dengan prinsip Islam.
” Satu pertemuan telah diadakan bersama pihak MFW pada 23 Ogos 2024, bagi memaklumkan supaya aktiviti tersebut dihentikan kerana dibimbangi mengelirukan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Namun, berdasarkan aduan daripada pihak berkuasa agama negeri, pertubuhan itu dikesan masih meneruskan aktiviti berkenaan.
Dr Sirajuddin berkata, penggunaan istilah seperti “Muslim Choice” atau apa jua bentuk tanda pengiktirafan yang menyerupai pensijilan halal Malaysia tidak mempunyai sebarang pengiktirafan daripada pihak berkuasa sah.
Menurutnya hanya pihaknya bersama Majlis atau Jabatan Agama Islam Negeri (MAIN/JAIN) diberi kuasa di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 untuk mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) serta membenarkan penggunaan logo halal negara.
“Sebarang penggunaan simbol, logo, istilah atau ungkapan yang membawa maksud halal oleh mana-mana pihak selain JAKIM atau MAIN/JAIN adalah menyalahi peraturan dan boleh menjejaskan integriti sistem pensijilan halal negara, selain mengelirukan pengguna Muslim.
“JAKIM mengingatkan semua pihak agar tidak menggunakan atau mempamerkan sebarang bentuk pengiktirafan yang boleh memberi tanggapan halal tanpa pengesahan daripada pihak berkuasa.
“JAKIM kekal komited memastikan integriti sistem halal negara sentiasa terpelihara demi kepentingan pengguna Muslim,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








