BERITA SEMASA

Anwar tiba di Gyeongju bagi hadiri Sidang APEC 2025

GYEONGJU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2025 bermula esok hingga 1 November ini.

Pesawat yang membawa Perdana Menteri dan delegasi negara selamat mendarat di Pangkalan Udara Gimhae, Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae, Busan kira-kira pukul 7.41 malam waktu tempatan (6.41 petang waktu Malaysia).

Ketibaan beliau disambut Timbalan Gabenor Gyeongju, Hojun Song dan Komander Sayap Udara Ke-5, Brigedier Jeneral Kang Geun Shin.

Dari pihak Malaysia, Perdana Menteri disambut oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan, Datuk Mohd Zamruni Khalid.

Esok, Anwar dijadual menyampaikan kenyataan Malaysia pada Sesi Dialog Pemimpin Ekonomi APEC bersama tetamu, dengan menekankan kepentingan keterangkuman dalam memperkukuh rantaian bekalan, pembangunan ekonomi digital serta kerjasama serantau bagi pertumbuhan mampan.

Perdana Menteri turut dijadual mengadakan beberapa sesi libat urus bersemuka, termasuk bersama wakil Nvidia dan YTL Power, diikuti sesi bersama Gabungan Perniagaan APEC-Amerika Syarikat.

Selepas itu, Anwar akan mengadakan pertemuan berasingan dengan syarikat Namhae Chemical Corp dan JS Link.

Perdana Menteri kemudiannya dijadual menghadiri majlis makan malam Pemimpin Ekonomi APEC sebelum menutup jadual harian dengan sidang media.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button