BERITA SEMASASUKAN

Kemalangan Moto3: Dettwiler kini stabil, Rueda dijangka pulang ke Sepanyol esok

KUALA LUMPUR – Pelumba Moto3, Noah Dettwiler yang menjalani beberapa pembedahan kelmarin, kini berada dalam keadaan stabil dan tidak lagi kritikal.

Pasukannya, CIP Green Power bersama keluarga Dettwiler, pengurusannya serta Tom Luthi dalam satu kenyataan bersama hari ini mengesahkan perkara itu.

“Menurut doktor, keadaan Noah kini stabil dan tidak lagi berada dalam situasi kritikal,” kata kenyataan itu.

“Beliau akan terus dipantau rapi di unit rawatan rapi (ICU). Terima kasih atas sokongan dan keprihatinan yang berterusan daripada semua pihak,” kata kenyataan itu, hari ini.

Kemalangan Ahad lalu itu berlaku ketika sighting lap sebelum perlumbaan sebenar dimulakan, membabitkan Dettwiler dan juara dunia baharu Moto3, Jose Antonio Rueda dari Sepanyol.

Perlumbaan kemudiannya ditangguh sementara dan dipendekkan susulan kemalangan berkenaan.

Kedua-dua pelumba dilaporkan sedar selepas insiden dan dihantar ke hospital menggunakan helikopter untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Pasukan Red Bull KTM Ajo turut mengeluarkan satu kenyataan hari ini mengenai keadaan Rueda yang terus menunjukkan peningkatan dan dijangka dapat pulang ke Sepanyol esok.

“Selepas menjalani ujian perubatan susulan, kami boleh mengesahkan bahawa keadaan pelumba Sepanyol itu terus bertambah baik.

“Semalam, Rueda telah dipindahkan ke hospital swasta bagi meneruskan pemulihan dan memantau kecederaan lebam pada paru-parunya dengan lebih teliti.

“Doktor percaya beliau boleh kembali ke Sepanyol esok untuk menjalani pembedahan tangan kanan di Barcelona dalam beberapa hari akan datang,” kata kenyataan itu, hari ini.

Dalam kenyataan sama, pasukan tersebut turut menzahirkan sokongan penuh kepada Noah Dettwiler serta keluarga dan rakan-rakannya sepanjang proses pemulihan yang sedang dilaluinya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button