LUAR NEGARA

Thailand beri amaran keras kepada pelancong Israel

BANGKOK – Kerajaan Thailand memberi amaran keras bahawa pelancong dan penduduk Israel di negara itu bakal berdepan tindakan undang-undang yang lebih tegas selepas peningkatan aduan mengenai tingkah laku biadab serta kegiatan haram dalam kalangan mereka.

Amaran itu disuarakan selepas satu mesyuarat antara pihak polis Thailand dan Penasihat Kanan Majlis Keselamatan Israel, Avi Bitton yang berlangsung di Phuket, kelmarin, lapor media tempatan.

Ketua Polis Wilayah Surat Thani, Mejar Jeneral Polis Suwat Suksri berkata, perbincangan itu memberi tumpuan kepada aduan rakyat tempatan terhadap pelancong Israel yang terlibat dalam perniagaan tidak sah, pesta dadah dan perlakuan menghina budaya tempatan.

“Kami berharap pertemuan ini dapat menyelesaikan sebahagian daripada masalah pelancong Israel yang berkelakuan tidak wajar,” kata Suwat selepas mesyuarat tersebut.

Avi Bitton dalam pertemuan itu turut menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan tegas pihak berkuasa Thailand, termasuk penangkapan serta pemeriksaan ke atas komuniti Israel yang didapati melanggar undang-undang.

Thailand kini menempatkan enam pusat Chabad di Pai, Phuket, Koh Samui dan Koh Phangan yang berfungsi sebagai tempat perlindungan khas bagi tentera simpanan Israel yang baru pulang dari medan perang.

Menurut Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand, sekitar 300,000 pelancong Israel telah melawat Thailand antara Januari hingga September 2025, meningkat 57 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Lonjakan itu dikaitkan dengan keinginan ramai warga Israel mencari ketenangan selepas tamat perkhidmatan tentera.

Namun, peningkatan tersebut turut menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat tempatan, terutama selepas beberapa insiden mencemarkan imej pelancong Israel.

Antaranya, penangkapan empat warga Israel pada 14 Oktober di Koh Samui kerana menganjurkan pesta dadah bagi meraikan ‘keamanan’, serta satu insiden Mei lalu apabila seorang wanita Israel enggan menanggalkan kasut sebelum masuk ke restoran Thai di Koh Phangan sambil menjerit: “Duit saya membangunkan negara kamu.”

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button