Satu Tabika KEMAS kanak-kanak autisme di setiap negeri tahun hadapan – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membina sebuah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) KEMAS khas untuk kanak-kanak autistik di setiap negeri mulai tahun hadapan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu adalah bagi memastikan akses pendidikan awal yang inklusif dan mampu milik disediakan untuk anak-anak autistik di seluruh negara.
Beliau menambah, langkah berkeenaan juga diambil setelah mengambil kira ekosistem pendidikan KEMAS yang mempunyai keupayaan menawarkan pendidikan khas itu.
“Kebanyakan ibu bapa yang mempunyai anak autisme terpaksa menghantar mereka ke tabika luar KEMAS yang mengenakan bayaran tinggi, sekali gus menimbulkan bebanan kewangan kepada keluarga.
“Tahun hadapan, setiap negeri akan dibina Tabika KEMAS khas untuk kanak-kanak autistik, dan insya Allah, sekiranya peruntukan mencukupi, menjelang 2027 setiap daerah akan mempunyai sekurang-kurangnya sebuah Tabika KEMAS Autisme,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Pembangunaan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.
Bagi menjawab celahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai persediaan kementerian terhadap inisiatif itu, Ahmad Zahid berkata, pelarasan sudah dibuat dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) supaya tidak timbul pertindihan fungsi.
Bagi aspek kurikulum pula, beliau berkata pelarasan turut dilaksanakan dengan Institusi Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi memastikan kurikulum pendidikan khas itu dapat dilaksana secara menyeluruh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















