SUKAN

Simposium ASEAN kukuh agenda integriti sukan dan anti-doping

PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) menganjurkan Simposium Integriti Sukan dan Anti-Doping ASEAN 2025 di bawah Program Pembangunan Belia dan Sukan sempena Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025.

Program itu menjadi platform utama dalam memperkukuh agenda integriti sukan di rantau ini serta mempromosikan amalan sukan bersih, adil dan bebas daripada amalan terlarang.

KBS berkata, isu integriti sukan bukan hanya berkait dengan pelanggaran peraturan semata-mata, tetapi turut menjejaskan semangat kesukanan sejati dan memberi kesan negatif terhadap kesihatan serta reputasi sukan di peringkat global.

“Ekosistem sukan perlu dipelihara dengan penuh integriti melalui pewujudan persekitaran sukan bersih yang bebas daripada penggunaan bahan serta kaedah terlarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Simposium tersebut dirasmikan oleh Ketua Setiausaha KBS, Datuk Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, yang turut menyampaikan ucaptama bertemakan Anti-Doping dan Integriti Sukan.

Beliau berkata, KBS kini sedang dalam proses meminda Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) bagi memasukkan elemen berkaitan anti-doping dan integriti sukan.

“Langkah ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memperkukuh dasar dan pelaksanaan berhubung integriti sukan di negara ini,” katanya lagi.

Simposium Integriti Sukan dan Anti-Doping ASEAN 2025 di bawah Program Pembangunan Belia dan Sukan sempena Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025.
Simposium Integriti Sukan dan Anti-Doping ASEAN 2025 di bawah Program Pembangunan Belia dan Sukan sempena Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025.

Selain pembentangan dasar dan inisiatif baharu, simposium itu turut menampilkan sesi perkongsian ilmu mengenai pelaksanaan World Anti-Doping Code dan International Standards 2027, pendidikan berasaskan nilai, pencegahan pengaturan perlawanan serta tadbir urus sukan berintegriti.

Program peringkat ASEAN itu turut mendapat penyertaan luas daripada wakil negara-negara ASEAN, agensi kerajaan persekutuan dan negeri, serta organisasi antarabangsa termasuk World Anti-Doping Agency (WADA), Japan Anti-Doping Agency (JADA), Korea Anti-Doping Agency (KADA), Sport Integrity Australia (SIA), Asian Football Confederation (AFC), Badminton World Federation (BWF), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sekretariat ASEAN, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) serta pelbagai persatuan sukan kebangsaan dan antarabangsa.

Penganjuran simposium itu sekali lagi mengukuhkan peranan Malaysia sebagai peneraju dalam memperjuangkan nilai integriti dan keadilan dalam arena sukan serantau bersama rakan-rakan ASEAN ke arah mewujudkan budaya sukan yang bersih, sihat dan beretika.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button