Penjenayah guna dron serang polis, 64 maut di Rio de Janeiro
RIO DE JANEIRO – Taktik luar jangka kumpulan pengedar dadah yang menggunakan dron untuk menyerang polis mencetuskan huru-hara di kawasan setinggan Rio de Janeiro, dalam operasi besar-besaran yang meragut sekurang-kurangnya 64 nyawa semalam.
Lebih 2,500 anggota polis lengkap bersenjata dengan sokongan kenderaan perisai, helikopter dan dron digerakkan dalam misi membanteras kumpulan pengedaran dadah terbesar Brazil di Complexo da Penha dan Complexo do Alemao.
Gabenor Negeri Rio, Claudio Castro, berkata, serbuan itu sebagai yang terbesar dalam sejarah negeri berkenaan, bagi mengekang pengaruh kumpulan jenayah Comando Vermelho (Perintah Merah) yang semakin berleluasa.
Castro berkata, 60 suspek pengedar dadah disyaki terbunuh, manakala empat anggota polis turut terkorban dalam operasi yang masih diteruskan sehingga lewat petang semalam.
Saksi melaporkan bunyi tembakan berlarutan berhampiran lapangan terbang antarabangsa Rio, manakala kepulan asap tebal dan kebakaran dikesan beberapa jam selepas operasi bermula.
Penduduk setempat dilapor panik dan berlari mencari perlindungan, sementara banyak premis perniagaan terpaksa ditutup susulan pertempuran sengit antara pihak berkuasa dan kumpulan penjenayah.
Seorang penduduk Penha yang enggan dikenali berkata, ini kali pertama mereka menyaksikan dron digunakan oleh penjenayah untuk menjatuhkan bom ke arah komuniti mereka.
“Semua orang ketakutan kerana banyak tembakan dilakukan,” katanya lapor AFP.
Serbuan ke atas kawasan setinggan Rio bukan perkara baharu, namun tragedi kali ini disifatkan paling buruk selepas kejadian pada 2021 yang mengorbankan 28 orang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








