BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Usahawan hartanah, lima yang lain didakwa bergaduh

BESUT – Seorang usahawan hartanah terkenal, Datuk Mohamad Azlan Abdullah @ Ali, 38, atau lebih dikenali sebagai Azlan Al Amin, bersama adiknya, Mohd. Mustakim, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merosakkan kereta seorang jurujual kad sim telekomunikasi, Khamis lalu.

Kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fadhli Mahmud, lapor KOSMO!

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa merosakkan sebuah kereta Perodua Bezza yang dinaiki mangsa, Wan Hafizie Wan Mohamd, 36, sehingga menyebabkan kerugian dianggarkan RM5,000.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan rumah mereka di Kampung Pengkalan Buluh, Jerteh, kira-kira pukul 11 malam pada 23 Oktober lalu.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Mohd. Mustakim bersama tiga lagi pekerja Mohamad Azlan iaitu Ramli Mohd., 56; Muhammad Shafiq Hakimi Hussain, 21; dan Muhammad Haiqal Mirzan Mohd. Mazli, 23, turut berdepan pertuduhan berasingan menyebabkan kecederaan terhadap mangsa di lokasi dan masa sama.

Kes tersebut menarik perhatian umum kerana melibatkan individu yang dikenali dalam dunia keusahawanan hartanah, manakala prosiding seterusnya dijangka ditetapkan pada tarikh yang akan diumumkan oleh mahkamah.

Kesemua tertuduh yang mengaku tidak bersalah didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Wan Hafizie pula dihadapkan atas dua pertuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap Mohamad Azlan dan Mohd. Mustakim pada lokasi, waktu dan tarikh sama.

Dia yang mengaku tidak bersalah didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 jika sabit kesalahan.

Kosmo! Ahad semalam melaporkan kesemua enam lelaki itu telah ditahan bagi membantu siasatan kes pergaduhan disebabkan salah faham berlaku di hadapan rumah Mohamad Azlan yang tular di media sosial.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button