BERITA SEMASA

Malaysia lakar sejarah jadi saksi Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja, Thailand

KUALA LUMPUR – Malaysia melakar sejarah apabila menjadi saksi kepada Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand. 

Perjanjian damai itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama Presiden Donald J. Trump; Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.

Anwar berkata, perjanjian damai itu merupakan detik yang menandakan kejayaan diplomasi ASEAN dalam menyemai keamanan dan kestabilan serantau.

Katanya, ia sebagai kesinambungan kepada gencatan senjata yang termeterai pada 28 Julai lalu di Putrajaya.

“Saya menghargai keprihatinan rakan-rakan serantau dan antarabangsa yang mendukung usaha ini, termasuk Presiden Trump.

“Peranan bersama inilah yang mendorong pemimpin Kemboja dan Thailand mencapai kata sepakat serta mengambil langkah berani memilih perdamaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump semasa Majlis Menandatangani Perjanjian Damai Thailand-Cambodia di Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Kuala Lumpur. AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan di hadapan Trump mengenai keperluan memperluas agenda keamanan itu ke wilayah lain yang masih bergolak khususnya di Gaza, agar dunia kembali berpaksikan keadilan dan kemanusiaan sejagat.

“Perjanjian ini membuktikan bahawa suara ASEAN kini semakin dihormati sebagai jambatan perdamaian, memperlihatkan bagaimana dialog dan kesederhanaan mampu menamatkan sengketa yang berpanjangan.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump semasa Majlis Menandatangani Perjanjian Damai Thailand-Cambodia di Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Kuala Lumpur. AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri.

“Malaysia akan terus memainkan peranan aktif memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa bagi menjunjung keamanan, keadilan dan kesejahteraan bukan sekadar untuk ASEAN, tetapi untuk seluruh umat manusia,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button