BERITA SEMASA

Sistem pendidikan tinggi perlu anjakan baharu untuk kekal relevan – Zambry

Pendekatan lama tidak lagi sesuai dengan keperluan semasa

SUBANG JAYA – Sistem pendidikan tinggi negara tidak lagi boleh bergantung kepada pendekatan lama, sebaliknya memerlukan perubahan menyeluruh termasuk dalam aspek pedagogi dan kurikulum bagi memastikan ia kekal relevan dengan keperluan semasa dan masa depan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kementeriannya kini sedang menyiapkan Dasar Pendidikan Tinggi Negara 2026–2035, hasil libat urus membabitkan hampir 8,000 ahli akademik di seluruh negara.

“Sistem pendidikan tinggi kita memerlukan anjakan dan perubahan besar. Saya berterima kasih kepada Profesor Datuk Asma dan pasukannya yang melibatkan hampir 8,000 ahli akademik hingga berjaya menghasilkan blueprint baharu bagi tempoh 2026 hingga 2035,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) Ke-16, di sini hari ini, yang diadakan bagi meraikan ahli akademik cemerlang atas sumbangan besar mereka terhadap pembangunan ilmu dan kemajuan negara.

Dr Zambry menjelaskan, dunia pendidikan tinggi kini sedang melalui perubahan ketara apabila peranan universiti tidak lagi terhad kepada penyelidikan dan penerbitan ilmiah semata-mata, tetapi turut mencakupi aspek kemanusiaan dan pembentukan insan.

“Universiti bukan sekadar makmal ilmu, tetapi medan untuk membentuk manusia. Dunia pendidikan kita sudah berubah dan peranan ahli akademik amat penting dalam memastikan perubahan ini memberi impak positif kepada negara,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan, kepelbagaian pandangan dan pemikiran dalam dunia akademik tidak seharusnya menjadi halangan, sebaliknya perlu diraikan kerana ia memperkaya idea serta memperkukuh daya saing ilmu di peringkat global.

“Dunia akademik penuh dengan idea. Kepelbagaian pandangan tidak seharusnya membawa perpecahan, sebaliknya menjadi pemangkin kepada kemajuan,” katanya.

Dr Zambry dalam pada itu turut menzahirkan penghargaan kepada semua ahli akademik yang gigih memainkan peranan penting dalam memajukan negara melalui sumbangan ilmu dan penyelidikan.

“Negara yang kita huni hari ini tidak akan terbentuk seperti sekarang tanpa sumbangan para ahli akademik. Jasa dan pengorbanan mereka sentiasa diingati dalam pembangunan negara,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima Anugerah Akademik Negara tahun ini serta berterima kasih kepada Universiti Sains Malaysia (USM) dan jawatankuasa penganjur atas kejayaan menganjurkan majlis berprestij itu.

“Semoga pengiktirafan ini menjadi dorongan kepada seluruh warga akademik untuk terus memberi sumbangan bermakna kepada perkembangan ilmu dan kemajuan negara yang kita cintai,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button