Berita SemasaPM X

Menteri KPDN yang baharu diumum selepas PRN

KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang baharu akan diumum selepas urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sedang berlangsung di enam negeri selesai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, buat masa ini, beliau memberi tanggungjawab kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali untuk memantau urusan KPDN.

“Belum lagi, lepas PRN… bagi saya masa… saya fikir tidak terlalu lama,” katanya kepada pemberita selepas berucap pada Majlis Perasmian Penutup Hari Pengguna Kebangsaan 2023 di Piazza Pavilion Bukit Jalil di sini pada Ahad.

Beliau turut meminta Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh untuk membantu Armizan menjalankan tugas di kementerian itu.

“Sementara ini, Armizan diberi tanggungjawab memantau dan menjalankan tugas. Fuziah pun dah faham betul (urusan KPDN).

“Jadi saya nampak tiada gangguan dan saya minta Armizan tumpu lebih sikit di kementerian ini,” katanya.

Portfolio kementerian berkenaan sebelum ini dipegang oleh Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada 23 Julai lepas di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah.

Show More

Related Articles

Back to top button