KPM perkenal subjek baharu Pendidikan Karakter dalam kurikulum kebangsaan 2027
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan subjek baharu iaitu Pendidikan Karakter sebagai sebahagian daripada kurikulum kebangsaan 2027.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, subjek itu akan dilaksanakan bermula di peringkat prasekolah, selaras dengan pelaksanaan kurikulum baharu.
“Dalam kurikulum baharu ini, satu subjek penting yang dinamakan Pendidikan Karakter akan diperkenalkan.
“Pendidikan Karakter akan menjadi teras utama kepada kurikulum baharu yang akan bermula pada tahun 2026. Sementara itu, elemen berkaitan nilai, moral dan sahsiah sudah pun diterapkan dalam kurikulum sedia ada.
“Oleh itu, berdasarkan syor yang diterima, kami telah mengenal pasti Pendidikan Karakter sebagai salah satu komponen paling penting dalam kurikulum baharu ini. Bermula tahun depan, pelaksanaannya akan dimulakan di peringkat prasekolah, sejajar dengan kurikulum baharu,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Fadhlina berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Salamiah Mohd Nor (PN–Temerloh) mengenai langkah kementerian menilai semula kandungan kurikulum sedia ada bagi memberi penekanan lebih besar terhadap pembentukan sahsiah, jati diri, nilai murni, adab, akhlak, keimanan dan integriti dalam kalangan pelajar.
Fadhlina kemudiannya berkata, pendekatan pendidikan karakter akan menjadi tiang utama yang diberi penekanan sepenuhnya bagi memenuhi aspirasi seluruh ekosistem pendidikan berhubung pembentukan karakter.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |















One Comment