Exstopod Plus: Pod privasi akustik pertama di Malaysia
KUALA LUMPUR – Amalan Bekerja Dari Rumah (BDR) yang diamalkan secara meluas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu, kini kian mendapat tempat dalam kalangan tenaga kerja di negara ini.
Justeru, bagi mewujudkan suasana BDR, Exsto Malaysia Sdn Bhd telah mengambil langkah proaktif dengan membina pod privasi akustik pertama di Malaysia yang dipanggil Exstopod Plus.
Menurut Pengarah Urusannya, Ts Yong, beberapa syarikat di Malaysia telahpun menunjukkan minat dengan memasang pod yang dilengkapi unit penyejuk udara itu di pejabat mereka.
Katanya, pod tersebut mampu menjadi ruang kerja fokus bagi individu atau secara berkumpulan untuk menjalankan perbincangan mahupun mesyuarat.

Mengulas lanjut, Yong berkata, penggunaan pod ini bukan sahaja digunakan secara meluas dalam sektor swasta dan kerajaan, malah ia turut boleh disewa di kawasan awam seperti pusat membeli belah dan lapangan terbang.
Menurut beliau lagi, pod tersebut boleh disewa serendah RM20 bagi setiap satu jam dan boleh didapati di pusat beli belah seperti One Utama, IOI City Mall Putrjaya dan Selayang Mall.
“Biasanya orang pergi pusat beli belah mereka mahukan ruang privasi, atau mahu letak anak mereka jadi mereka boleh gunakan pod ini. Ada juga yang gunakan pod ini untuk mengadakan kelas tuisyen,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Pameran Bangunan dan Rekaan Dalaman (ARCHIDEX) Edisi Ke-22 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Rabu lalu.
ARCHIDEX adalah acara seni bina, reka bentuk dan inovasi yang sering dinantikan pelbagai golongan termasuk arkitek, pereka dalaman, jurutera, pemaju, pengilang dan pembekal termasuk peniaga industri dan bukan industri.
Menerusi pameran tersebut, Exsto Malaysia Sdn. Bhd. telah berjaya merangkul Anugerah Bintang Kelestarian kerana mengeluarkan produk paling mampan iaitu Exstopod Plus yang mempunyai 98 peratus kandungan yang boleh dikitar semula.

Mengulas lanjut, Yong berkata, Exsto Malaysia Sdn. Bhd. muncul sebagai syarikat pertama di Malaysia yang memasarkan pod menggunkan bahan yang boleh dikitar semula.
“Dekat Malaysia kita syarikat pertama yang buat pod boleh dikitar semula, yang kedua kita buat pod lebih bagus kerana kami memperkasakan kelestarian alam bermakna 98 peratus bahan yang digunakan untuk menghasilkan pod ini boleh dikitar semula.
“Acoustic Board ini kita gunakan gentian karbob (carbon fibre) yang boleh menyerap bunyi, contoh kalau kata kita cakap 80 peratus dia akan serap bunyi percakapan itu. Karpet pun sama, siling pun sama akan serap bunyi,” katanya lagi.
Tambah Yong, pihak Exsto Malaysia juga menawarkan jaminan selama sepuluh tahun dan menyediakan perkhidmatan pemindahan pod di seluruh Malaysia.
“Sebab pod ini kalau nak pindahkan boleh pindah, dia bukan macam pejabat bila kita mahu pindah kena leraikan semua.
“Kami (Exsto Malaysia) juga ada jaminan selama 10 tahun dan kalau kamu mahu pindahkan kami boleh pindahkan tapi kami ada kenakan caj minimum sebanyak RM500 bergantung kepada jarak dari pejabat A ke pejabat B seluruh Malaysia,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, lebih 36,000 pengunjung menghadiri ARCHIDEX yang diadakan selama empat hari yang menampilkan sebanyak 1,400 pameran oleh seramai 600 ahli pameran tempatan dan antarabangsa termasuk dari 13 negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








