BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

MCMC gesa orang ramai henti sebar gambar insiden pelajar ditikam

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa orang ramai agar tidak menularkan gambar atau video berkaitan insiden tragis melibatkan kematian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang ditikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Selangor, semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, MCMC merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menegaskan bahawa semua pihak perlu bertindak dengan penuh tanggungjawab serta beretika dalam mengendalikan sebarang bahan berkaitan kejadian tersebut.

“MCMC menggesa semua pihak agar tidak berkongsi, menghantar semula atau memuat naik sebarang kandungan, termasuk gambar atau video yang memaparkan mangsa, pelajar lain atau lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, MCMC turut menasihatkan individu yang telah memuat naik kandungan seumpama itu supaya segera memadamkan hantaran berkenaan bagi menghormati privasi dan maruah keluarga mangsa.

“Perbuatan menyebarkan gambar atau video mangsa bukan sahaja melanggar privasi dan maruah keluarga terlibat, malah boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),” tegasnya.

Pada masa sama, MCMC mengingatkan orang ramai bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana individu yang menyebarkan kandungan sedemikian di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda dan penjara bagi kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan.

MCMC menegaskan, tanggungjawab bersama masyarakat amat penting dalam memastikan sensitiviti serta kebajikan semua pihak yang terlibat dalam insiden itu terus terpelihara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button