Tingkat tahap pematuhan cukai, LHDN jumpa 54 dewan perniagaan dan persatuan perdagangan
KUALA LUMPUR – Dalam usaha meningkatkan tahap pematuhan cukai dalam kalangan rakyat serta pembayar cukai di Malaysia, satu sesi libat urus yang dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Dr. Mohd Nizom Sairi diadakan bersama dengan 54 dewan perniagaan dan persatuan perdagangan yang melibatkan lebih daripada 150 orang ahli perniagaan berlangsung hari ini.
Dalam sesi libat urus yang diadakan di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur itu, turut terlibat adalah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian), Datuk Dr. Sotimin Muhalip dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan), Wan Ramiza Wan Ghazali serta barisan pengurusan kanan LHDN.
“Sesi ini bertujuan mendapatkan maklum balas secara terus daripada pihak-pihak
berkepentingan berkenaan isu-isu serta cadangan penambahbaikan mutu perkhidmatan LHDN memandangkan dewan perniagaan dan persatuan perdagangan ini mampu bertindak sebagai ejen penyebarluas maklumat serta info percukaian kepada semua ahli di bawah naungannya.
“Bagi mencapai objektif penganjuran sesi ini, CEO LHDN melalui sesi dialognya turut sama bertukar-tukar pendapat dan maklumat serta bertindak menjadi pemudah cara dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan yang telah dibangkitkan,” kata LHDN dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam sesi tersebut, beliau juga telah menyampaikan hasrat dan aspirasi dalam memperkasakan peranan serta fungsi LHDN selaku agensi pentadbir cukai langsung negara melalui pendekatan berteraskan konsep A.E.S (Awareness, Education, Services).
Katanya, pendekatan itu akan diteruskan lagi dalam tahun 2023 bagi memastikan kadar pematuhan pembayar cukai terus menunjukkan peningkatan yang positif.
“Sehingga bulan Januari tahun 2023, LHDN telah mengadakan sebanyak tiga sesi libat urus bersama pemain-pemain industri dan akan terus komited menganjurkan sesi sebegini yang merupakan platform terbaik LHDN dalam mendekati pembayar cukai dan seterusnya menjadi rakan strategik pembayar cukai dalam kitaran ekosistem percukaian,” katanya.