BERITA SEMASAMALAYSIA MADANIPMX

Belanjawan 2026: Kerajaan bentang RUU Antibuli 2025, tegas lawan jenayah senyap buli

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini mengumumkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025 bagi mengekang gejala buli yang semakin membimbangkan di sekolah, universiti, tempat kerja dan alam maya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, langkah itu penting bagi memutuskan rantaian kezaliman yang membunuh potensi, menanam trauma berpanjangan, malah boleh meragut nyawa.

“Buli bukan sahaja isu remaja, ia menjejaskan masyarakat secara keseluruhan. RUU ini adalah langkah utama kita untuk membanteras jenayah senyap ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah beliau pelbagai kementerian dan agensi telah digerakkan bagi melaksanakan langkah pencegahan dan sokongan.

“Kementerian Pendidikan (KPM) membangunkan Kerangka Antibuli Sekolah (SAFE) sebagai rangka menyeluruh termasuk memperkasa peranan guru dan murid melalui Program Amalan Sekolah Penyayang.

“Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) meningkatkan keselamatan mahasiswa dengan menambah CCTV dan menganjurkan program sahsiah serta kepimpinan sebagai pencegahan buli dan ragging.

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyediakan sokongan psikososial melalui sesi kaunseling berkelompok,” katanya.

Tambah Anwar, Kementerian Komunikasi turut melaksanakan Kempen Internet Selamat bagi meningkatkan kesedaran siber dalam kalangan murid sekolah.

Manakala Rakan Muda menggerakkan inisiatif ‘Lawan Buli’ dalam kalangan belia di akar umbi, bagi membina budaya positif menentang buli.

Langkah tersebut menekankan kerjasama seluruh masyarakat, dengan penekanan kepada didikan nilai empati dan kesedaran digital, bagi membentuk generasi yang selamat, bertanggungjawab dan bebas daripada buli.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button