BERITA SEMASAPMX

PM sifatkan Mansur & Liu antara pementasan teater terbaik di Malaysia

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan teater muzikal Mansur & Liu arahan maestro muzik, Datuk M Nasir sebagai antara pementasan terbaik pernah disaksikannya di negara ini.

Beliau berkata, mutu karya berkenaan juga mampu berdiri setanding dengan beberapa pementasan teater di luar negara, sekali gus membuktikan keupayaan seni tempatan untuk mencapai tahap yang membanggakan.

teater
Perdana Menteri bersama Datuk M Nasir ketika hadir pada pementasan teater berkenaan malam tadi.

“Bila saya sebut pertumbuhan, pembangunan ekonomi, kita bicara tentang pemerkasaan budaya.

“Malam ini (tadi) kita telah buktikan bahawa ada pementasan tempatan yang telah meningkat ke satu taraf yang boleh dibanggakan.

“Saya rasa ini antara pementasan terbaik yang saya lihat dalam negara dan agak boleh setanding dengan beberapa (teater) tempat lain di dunia,” katanya memetik laporan Gempak.

Anwar berkata, sokongan kerajaan dan sektor swasta diperlukan bagi memastikan perkembangan industri seni tempatan terus diperkasa, termasuk menyediakan kemudahan tambahan.

“Apa yang perlu ialah tentunya dokongan kerajaan dan juga pihak swasta supaya ada kemudahan tambahan,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan pementasan Mansur & Liu di Istana Budaya, di sini pada Sabtu.

Pada masa sama, Anwar menzahirkan ucapan tahniah kepada M Nasir dan seluruh pasukan produksi yang menjayakan pementasan berkenaan.

“Jadi, tahniah kepada sahabat saya M Nasir dan semua yang menjayakan, luar biasa.

“Saya bersyukur dapat bersama-sama menyaksikan sendiri keupayaan pementasan seni tempatan,” katanya.

Turut hadir menyaksikan pementasan itu ialah Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil serta pasangan penerbit dan pengarah, Datuk Yusuf Haslam dan Datin Patimah Ismail.

Mansur & Liu dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya selama 11 hari bermula 10 September lalu dan dijadualkan berakhir malam esok.

Teater sulung arahan M Nasir itu mengangkat kisah Sultan Melaka keenam, Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu daripada Dinasti Ming, berdasarkan karya Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu.

Pementasan berkenaan turut menjadi antara karya berskala besar terawal dipersembahkan di Istana Budaya selepas panggung seni utama negara itu selesai menjalani kerja pembaikan dan naik taraf.

Watak Sultan Mansur Shah dilakonkan Aliff Aziz, manakala bakat baharu, Melinda Dadew menghidupkan watak Puteri Liu.

Selain mereka, pementasan itu turut dibarisi Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Hazama, Taqim Zaki, Brian Chan, Fadhli Masoot, Anas Ridzuan, Arena Wan, Ruzana Ibrahim, Fiza Thomas, Taufiq Izmir, Marzuki Noh dan Shahrul Mizad.

Diterbitkan Roman Abadi dengan kerjasama Icon Entertainment, teater muzikal itu menampilkan 30 lagu serta skor muzik asli ciptaan M Nasir.

Mansur & Liu bukan sekadar mengisahkan pertemuan antara Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu, malah menyingkap zaman yang menyaksikan diplomasi mengatasi sengketa, kebijaksanaan mengatasi kekuatan dan kasih merapatkan dua empayar yang dipisahkan lautan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button