BERITA SEMASADALAM NEGERI

PM tegur syarikat masih tiada lembaga pengarah wanita sebagai kolot

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur dan menyifatkan tindakan lapan syarikat senaraian awam di negara ini yang tidak melantik wanita sebagai ahli lembaga pengarah sebagai sikap kolot dan ketinggalan zaman dalam era kepimpinan moden.

Ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini, beliau menegaskan bahawa penyertaan wanita dalam kepimpinan korporat menunjukkan kemajuan membanggakan, namun masih ada ruang besar untuk diperbaiki.

Menurutnya, setakat 1 Oktober, 45 peratus syarikat tersenarai awam telah mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus keanggotaan wanita dalam lembaga pengarah, selaras dengan sasaran yang ditetapkan kerajaan.

“Namun masih terdapat lapan syarikat yang tiada ahli lembaga wanita, ini memang syarikat kolot,” katanya.

“Sudah tiba masanya sektor korporat menamatkan budaya lama yang menyekat peranan wanita di peringkat tertinggi. Ini bukan soal ihsan, tetapi keadilan dan pengiktirafan terhadap keupayaan wanita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan langkah baharu bagi menyokong wanita bekerja, termasuk pelebaran pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM3,000 bagi yuran taman asuhan atau tadika untuk anak berumur sehingga enam tahun, kini diperluas kepada pusat jagaan harian atau pusat transit berdaftar bagi anak berumur sehingga 12 tahun, bermula tahun taksiran 2026.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan besar wanita dalam pembangunan negara, menyifatkan mereka sebagai tulang belakang keluarga dan penggerak ekonomi bangsa.

“Di bahu wanita terpikul masa depan bangsa. Mereka berkorban tidak didendang—mendidik generasi, menggerak ekonomi dan menjadi tulang belakang keluarga misali.

Langkah-langkah ini mencerminkan iltizam kerajaan MADANI untuk memperkukuh prinsip keadilan gender dan memastikan kepimpinan negara terus berteraskan nilai progresif serta inklusif.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button