Pencapaian atlet para bukti dasar inklusif sukan negara perlu diperluas – Hannah Yeoh
KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan kejayaan cemerlang kontinjen para negara di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2025 di New Delhi menjadi bukti kukuh bahawa dasar inklusif sukan negara perlu terus diperkasa dan diperluaskan bagi menjadikan Malaysia antara kuasa besar dalam arena sukan dunia.
Beliau berkata, sudah tiba masanya Malaysia memperkukuh ekosistem sukan inklusif agar kejayaan atlet para tidak hanya bersifat individu, sebaliknya lahir daripada sistem yang menyeluruh dan mampan.
Kejayaan kontinjen negara meraih satu pingat emas, dua gangsa dan satu rekod dunia baharu disifatkan Hannah bukan satu kebetulan, tetapi hasil pelaksanaan dasar dan pembangunan sukan yang semakin matang.
Beliau turut memuji pencapaian Datuk Abdul Latif Romly yang memperbaharui rekod dunianya dengan lompatan sejauh 7.67 meter, serta kejayaan Muhammad Ziyad Zolkefli dan Muhammad Nazmi Nasri yang turut mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

“Sukan para bukan tentang satu nama tetapi tentang sistem yang melahirkan wira. Jika ekosistem ini diperkukuh, Malaysia bukan sekadar ada pemenang tetapi akan menjadi kuasa dunia dalam sukan inklusif,” katanya.
Hannah berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Wira dan Wirawati Para Olahraga sempena kepulangan kontinjen negara dari kejohanan berprestij itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














