BERITA SEMASALUAR NEGARA

23 sukarelawan GSF Malaysia dijangka pulang hari ini

KUALA LUMPUR – Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul menjangkakan 23 sukarelawan Malaysia yang terbabit dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) dapat terbang pulang ke tanah air, seawal-awalnya hari ini.

Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Ahmad Amiri Abu Bakar, berkata semua proses yang diperlukan bagi membawa mereka pulang sedang dilaksanakan sebaik mungkin bagi memudahkan urusan berkenaan.

“Mereka semua dalam keadaan yang baik dan sihat. Kami berharap dapat terbang secepat mungkin. Hari ini tak …harap esoklah (Isnin),” katanya memetik laporan BH, di sini.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan semua sukarelawan Malaysia dalam GSF sudah bebas dan dibawa ke Istanbul, Turkiye.

Semua 23 sukarelawan Malaysia itu ditahan pihak berkuasa Israel, Khamis lalu sebelum dibawa ke penjara Ketziot, yang terletak di padang pasir Negev.

Mereka kini berada di Istanbul, Turkiye selepas dibebaskan oleh pihak berkuasa Israel kelmarin, menaiki penerbangan Turkish Airlines TK6921 dari Eilat, Israel pada 1.40 tengah hari waktu tempatan dan tiba di Istanbul, Turkiye pada 3.40 petang waktu tempatan.

Antara yang ditahan ialah penyanyi Nur Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah Helmi, Norfarahin Romli (Farah Lee), Nur Fazelah Mad Tahil (Zizi Kirana), Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan (PU Rahmat) dan Nurul Hidayah Mohd Amin (Ardell Aryana).

Pada masa sama, ketika ditanya sama ada dokumen penting milik sukarelawan Malaysia itu dirampas, Ahmad Amiri bagaimanapun berkata, mereka masih mempunyai pasport.

“Pasport semua ada, kalau tiada kami akan selesaikan juga,” katanya.

Ahmad Amiri berkata, walaupun semua sukarelawan yang tiba di Istanbul kelmarin, berada dalam keadaan sihat, mereka kelaparan kerana tidak diberikan makanan sepanjang berada dalam tahanan Israel.

Beliau berkata, semua daripada mereka juga tiba sehelai sepinggang dengan baju tahanan.

Katanya, mereka kemudiannya disajikan menu masakan Melayu iaitu nasi putih, ayam goreng kunyit, sambal belacan dan rojak buah.

“Masa sampai hampir semua kelaparan. Tidak makan di Israel dan hanya minum air tandas. Sampai di hotel, kami sediakan makanan nasi Melayu,” katanya.

Selain itu, Ahmad Amiri berkata, pihak konsulat juga membuka pejabat hari ini bagi memudahkan semua sukarelawan untuk berhubung dengan keluarga masing-masing.

“Hari inipun kami akan sediakan makan tengah hari di pejabat kami. Kami buka pejabat hari ini untuk mereka guna komputer.

“Semalam kami bawa mereka beli barang keperluan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button