Lapan termasuk wanita ditahan kes culik tiga lelaki di Kelantan
KOTA BHARU – Polis menahan lapan individu termasuk seorang wanita selepas dipercayai terbabit dalam kes penculikan tiga lelaki di Cherang Ruku, Pasir Puteh, pada 26 September lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 46 tahun ditahan dalam serbuan antara pukul 2 pagi hingga 11.30 pagi kelmarin di enam lokasi berasingan sekitar Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh dan Tumpat.
Beliau berkata, dalam kejadian itu tiga lelaki berusia lingkungan 20-an diculik kira-kira pukul 11 pagi sebelum dikurung di sebuah rumah tidak bernombor di Cherang Ruku.
“Suspek meminta wang tebusan RM150,000 daripada majikan mangsa bagi membebaskan mereka.
“Majikan mangsa membayar RM29,000 sebelum tiga mangsa dibebaskan selepas tiga hari diculik. Susulan itu, polis menahan lapan suspek warga tempatan semalam,” katanya dalam kenyataan semalam.
Hasil serbuan, polis merampas sepucuk revolver, satu pistol tiruan serta tiga kenderaan jenis Proton Perdana, Audi Q7 dan Nissan Terrano.
Turut dirampas 10 telefon bimbit milik suspek, lima telefon bimbit mangsa, seutas rantai besi dengan lima mangga dan anak kunci, pelitup muka, pakaian dipakai suspek serta pengikat kabel.
Mohd. Yusoff berkata, saringan air kencing terhadap semua suspek didapati negatif dadah dan mereka direman empat hari bermula semalam hingga 5 Oktober ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan (KK) kerana pemerasan dengan ugutan, Seksyen 365 kanun sama kerana melarikan dengan niat salah serta Seksyen 8 Akta Senjatapi Penalti Lebih Berat 1971.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







