Fahmi tidak tolak ada pihak cemburu kebangkitan Harimau Malaya
SEPANG – Kebangkitan skuad Harimau Malaya mungkin menimbulkan rasa cemburu segelintir pihak susulan tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain berdarah warisan negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, seperti penjelasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution semalam, pendirian Malaysia jelas berhubung keteraturan proses naturalisasi berpandukan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang sedia ada.
“Jadi bagi pihak kerajaan, semua dokumen adalah teratur dan tidak ada apa-apa isu.
“Tapi mungkin atas sikap beberapa pihak yang mungkin cemburu dan risau mengenai kebangkitan Harimau Malaya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas lawatan rasmi ke Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) di Gudang Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di sini, hari ini.
Semalam, Saifuddin memaklumkan, proses untuk memberikan kerakyatan kepada tujuh pemain itu dibuat berdasarkan perlembagaan, undang-undang dan pertimbangan berhati-hati.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail turut percaya FIFA mungkin didorong agenda lebih besar yang menyasarkan Malaysia.
Terdahulu, FAM dan tujuh pemain kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
FIFA dalam kenyataannya memaklumkan, FAM didapati menyerahkan dokumen dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.
Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel yang beraksi buat negara dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








