SAMBUTAN Maulid Al Mustofa SAW Ke-1500 Tahun yang dianjurkan oleh Kolej Islam As Sofa sepanjang 5 hingga 7 September baru-baru ini meninggalkan kesan mendalam bagi mereka yang menghadirinya.
Bermula di Rembau, beralih ke Seremban dan Kuala Lumpur serta berakhir di Hulu Langat, Selangor, rangkaian acara penuh barakah itu bukan sekadar peringatan terhadap kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, bahkan menjadi medan menyuburkan mahabbah, memperkukuh ikatan rohani dan menghubungkan umat Islam dengan warisan agung Ahlul Bayt.

Majlis pembukaan di Sekolah Tinggi Islam As Sofa, Rembau menyaksikan kehadiran Undang Luak Rembau, Datuk Abd Rahim Yassin serta barisan tetamu kehormat daripada keluarga besar Al-Mirghani iaitu Sayyid Abdullah al Mahjub, Sayyid Ahmad Al Mirghani, Sayyid Sirr Al Khatm dan Sayyid Muhammad Al Mirghani.
Ia turut diserikan dengan kehadiran barisan wakil-wakil As Sofa dari Indonesia, Singapura, Thailand, Mesir, Morocco dan United Kingdom, para ulama dan asatizah serta penuntut ilmu.
Keesokan harinya pula, majlis diteruskan dengan kehadiran Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyampaikan watikah khatam Al-Quran kepada para huffaz As Sofa di sebelah pagi.
Sesi penuh bersejarah itu turut menampilkan periwayatan serta ijazah Maulid Mirghani dan pelancaran Southeast Asia Islamic Council UK (SEAIC UK) iaitu sebuah badan hal ehwal Islam pertama yang dibangunkan khusus untuk komuniti Asia Tenggara di Eropah.

Selepas 13 tahun berkhidmat di bawah nama The Suffa Educational Foundation, penubuhan SEAIC UK menandakan lembaran baharu dan kesungguhan As Sofa mengembangkan khidmat dakwah serta pendidikan di benua tersebut.
Acara kemudian diteruskan dengan solat Jumaat di Madrasah Hasaniah yang diimamkan oleh Pengerusi Kumpulan Pendidikan Sofa, Datuk Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin.
Dalam khutbahnya beliau menegaskan:
“Sebesar-besar syiar Allah adalah Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Tanpa Baginda, tidak akan ada Kaabah dan Al-Quran. Hari ini kita meraikan kelahiran Baginda, nur yang menjadi permulaan segala kebaikan.”
Selawat dan sanad menghubungkan umat dengan Rasulullah SAW
Pada petang 5 September pula, Maahad Tahfiz As Sofa Seremban menjadi saksi majlis pembacaan dan pengijazahan kitab Nur al Anwar fi Solah ‘Ala al Nabi al Mukhtar SAW.
Para hadirin menerima keberkatan sanad selawat, memperkukuh ikatan rohani mereka dengan Rasulullah SAW.
Keesokan harinya, di Hotel Intercontinental Kuala Lumpur, program memasuki kemuncak dengan pengijazahan kitab selawat Fath Rasul serta pelancaran kitab Rahmah Ahad dan Taj Tafasir.

Dalam ucapannya, Syeikh Muhammad Fuad mengingatkan bahawa selawat bukanlah keperluan Nabi SAW, sebaliknya keperluan umat:
“Tak beradab kalau kita beriktikad Nabi SAW berhajat pada selawat kita. Sebaliknya, kitalah yang sebenarnya memerlukan manfaat daripada selawat yang diucapkan.”
Suara zuriat Al-Mirghani, cinta Rasulullah SAW menghidupkan hati
Kehadiran para sadah Al-Mirghani menyerikan lagi sambutan rangkaian program Maulid tersebut.
Dalam ucapannya, Sayyid Ahmad Al Mirghani menekankan bahawa iman dan cinta kepada Rasulullah SAW adalah asas kehidupan rohani umat.
“Cinta kepada Rasulullah SAW adalah asas yang menghidupkan hati. Hati yang mencintai Allah SWT dan Rasul-Nya akan melekat pada kebenaran, jiwanya tenggelam dalam lautan cahaya Muhammad dan akhlaknya dihiasi dengan sifat Baginda SAW.
“Rasulullah SAW adalah insan yang diutus dengan akhlak yang agung sebagaimana firman Allah: ‘Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung.’”
Beliau menambah bahawa sambutan maulid tersebut harus menjadi titik tolak umat Islam untuk memperbaharui hubungan dengan Baginda SAW.

“Maulid adalah kesempatan untuk kita memperbaharui akhlak, menyeru kepada toleransi, kasih sayang serta mengajak kepada kerjasama dalam kebenaran dan ketakwaan.
“Umat Islam pada hari ini sedang menderita luka dan kesakitan, justeru kita amat memerlukan untuk kembali ke pangkuan Nabi SAW yang mulia, menelusuri sirahnya yang harum serta mengambil cahaya yang tidak pernah terputus daripada Baginda SAW,” tegas beliau.
Sementara itu, Sayyid Abdullah al Mahjub Al Mirghani dalam ucapannya menegaskan bahawa sambutan maulid bukanlah semata-mata mengenang kelahiran Nabi Muhammad SAW, tetapi sebuah jalan untuk memperbaharui ikatan cinta dan adab terhadap Rasulullah SAW.
“Sambutan ini bukan hanya nostalgia, tetapi wasilah untuk memperbaharui janji cinta kita kepada Rasulullah SAW serta menzahirkan akhlak Baginda dalam kehidupan seharian.
“Kita hadir di sini bukan sekadar mendengar qasidah atau bacaan kitab, tetapi untuk menyuburkan kembali mahabbah dalam hati kerana hati yang dipenuhi cinta kepada Rasulullah SAW akan hidup dengan nur dan kasih sayang Allah SWT,” ucapnya.
Beliau menambah bahawa keindahan maulid ialah ia menghimpunkan umat dalam satu majlis penuh rahmat dan keberkatan.
“Apabila umat Islam berkumpul menyebut nama Nabi SAW, berselawat dan membaca kisah hidup Baginda, maka rahmat Allah SWT turun ke atas mereka.

“Itulah yang kita perlukan pada zaman ini iaitu menyatukan umat dengan kasih sayang Baginda SAW.
“Dengan maulid, kita memperbaharui tekad untuk berjalan di atas jalan Nabi SAW, berpegang pada sunnahnya dan membawa risalah cinta Baginda ke seluruh alam,” tegas beliau.
Lebih istimewa, Sayyid Abdullah turut mengurniakan pelantikan kepada Syeikh Muhammad Fuad sebagai Syeikh Tarekat Khatmiah Asia Tenggara, suatu pengiktirafan ulung yang mengangkat martabat dakwah di rantau ini.
Menutup dengan Nur Barraq
Rangkaian sambutan maulid tersebut ditutup di Kolej Islam As Sofa Hulu Langat dengan bacaan syair Nur Barraq karya Sayyid Muhammad Uthman al-Mirghani.
Majlis turut diakhiri dengan pengijazahan Tarekat Khatmiah, doa dan tausiah rohani menjadi noktah penuh bermakna kepada sambutan Maulid ke-1500 ini.
Kesatuan dalam mahabbah
Jelas daripada keseluruhan acara, sambutan Maulid Al Mustofa SAW anjuran Kolej Islam As Sofa bukan sekadar majlis peringatan tahunan, tetapi sebuah gerakan rohani yang menyeru umat Islam kembali menelusuri sirah, menghidupkan sunnah serta menyalakan cinta kepada Rasulullah SAW.

Semoga usaha ini menjadi titik penyatuan ummah, menyalakan semangat mencintai Nabi SAW dan mengangkat martabat umat Islam dengan mahabbah, adab serta akhlak Baginda yang agung.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








