Pemuda PAS tetap adakan Himpunan Mega #TolakURA 4 Okt depan
CYBERJAYA – Pemuda PAS akan tetap meneruskan Himpunan Mega #TolakURA bagi membantah Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 4 Okt depan.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Mohd Hafez Sabri berkata, pihaknya akan meneruskan bantahan itu walaupun Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh mengajak duduk semeja berunding mencari penyelesaian.
Mohd Hafez yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi berkata, pihaknya sebelum ini sudah mengadakan siri sidang meja bulat bersama penyelidik, NGO serta individu masyarakat sivil (NGI) untuk membincangkan isu RUU berkenaan.
Hasil perbincangan itu turut membawa kepada penghantaran satu resolusi rasmi kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan semua Ahli Parlimen seluruh negara.
“Malah, satu resolusi rasmi telah dihantar kepada pihak KPKT dan semua Ahli Parlimen di seluruh negara di pejabat mereka masing-masing, termasuk Pejabat Ahli Parlimen Teluk Intan yang juga Menteri KPKT,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, usaha yang telah dilakukan termasuk memberi cadangan seolah-olah tidak dipandang, termasuk oleh Menteri terlibat, Nga Kor Ming.
Sehubungan itu, katanya, Pemuda PAS memutuskan untuk meneruskan penganjuran himpunan tersebut sebagai isyarat jelas kepada Kor Ming supaya tidak bersikap ‘tone deaf’.
“Pemuda PAS berharap Dr Akmal dapat mempertimbangkan jemputan untuk turut sama dalam himpunan ini.
“Pemuda PAS juga sentiasa terbuka untuk menerima jemputan UMNO bagi membincangkan perkara ini secara lebih mendalam,” katanya dalam kenyataan tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








