LUAR NEGARA

UK umum pengiktirafan rasmi negara Palestin hari ini

LONDON – Kerajaan United Kingdom (UK) bakal membuat perubahan dasar luar paling bersejarahnya hari ini apabila secara rasmi mengiktiraf kewujudan negara Palestin, langkah yang menimbulkan tentangan hebat daripada sekutunya, Israel.

Selama ini, UK dikenali sebagai penyokong kuat Israel, namun pendiriannya berubah selepas rejim Zionis memperhebat serangan ke atas Gaza susulan serangan Hamas pada 2023.

Konflik berlarutan itu mengakibatkan kemusnahan besar, angka korban tinggi serta krisis kemanusiaan paling parah di wilayah Palestin.

Perdana Menteri, Keir Starmer pada Julai lalu sudah memberi amaran bahawa pengiktirafan akan dibuat sekiranya Israel gagal mengambil ‘langkah substantif’ ke arah gencatan senjata sebelum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September.

Beberapa media termasuk BBC dan Press Association melaporkan Starmer dijangka membuat pengumuman rasmi hari ini dengan menyifatkan langkah itu sebagai ‘satu sumbangan kepada proses damai yang sewajarnya, pada saat paling memberi impak untuk penyelesaian dua negara.’

Timbalan Perdana Menteri, David Lammy yang akan mewakili UK pada Perhimpunan Agung PBB menegaskan pengiktirafan sebuah negara Palestin dibuat sebagai kesan daripada peluasan serius di Tebing Barat dan keganasan peneroka yang sedang berlaku di kawasan itu.

“Adalah penting untuk ditegaskan bahawa pengiktirafan sebuah negara Palestin merupakan kesan daripada peluasan dan keganasan serius yang sedang kita saksikan di Tebing Barat.

“Niat dan petunjuk untuk membina contohnya pembangunan E1 yang akan sama sekali menggagalkan kemungkinan penyelesaian dua negara,” katanya.

Tindakan UK itu bagaimanapun mengundang kritikan keras Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang menuduh ia sebagai ganjaran terhadap ‘keganasan dahsyat’ serta tunduk kepada ideologi jihad.

Pengiktirafan itu dijangka berlaku serentak dengan sekurang-kurangnya 10 negara lain, termasuk beberapa anggota G7 seperti Perancis yang turut berhasrat mengiktiraf Palestin.

Langkah bersejarah itu diumumkan ketika Israel melancarkan serangan baharu untuk menawan bandar Gaza, kawasan paling padat di wilayah Palestin yang kini sudah diisytiharkan PBB berada dalam keadaan kebuluran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button