BERITA SEMASAPMX

Anwar jemput Perdana Menteri baharu Thailand ke Malaysia

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjemput rakan sejawatnya dari Thailand, Anutin Charnvirakul untuk melakukan kunjungan rasmi ke Malaysia selepas beliau memulakan tugas secara rasmi sebagai Perdana Menteri negara itu.

Anwar berkata, jemputan itu adalah sebahagian daripada usaha mempererat hubungan baik dan kerjasama dua hala antara Malaysia serta Thailand.

“Petang tadi (semalam) saya telah bercakap dengan sahabat saya, Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul untuk melakukan kunjungan ke Malaysia selepas beliau memulakan tugas secara rasmi sebagai Perdana Menteri Thailand.

“Kunjungan itu antaranya bagi mempererat hubungan baik kedua-dua negara berjiran,” katanya dalam kenyataan di Facebook, malam tadi.

Dalam perbualan itu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan perkembangan terkini di sempadan Thailand-Kemboja.

Anwar menegaskan kepentingan semua pihak mengekalkan ketenteraman dan tidak membiarkan sebarang perbezaan mencetuskan ketegangan yang tidak perlu.

“Saya menyeru agar segala isu yang timbul dibawa ke meja rundingan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Bersama (JBC).

“Malaysia percaya bahawa semangat dialog, diplomasi dan persefahaman adalah jalan terbaik untuk menjamin keamanan dan kestabilan serantau,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button