Imigresen buang 60 pegawai, anggota sejak 2022
KUALA LUMPUR – Seramai 60 anggota dan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dibuang kerja sejak 2022 hingga 2025 berikutan pelbagai kes salah laku yang dikesan jabatan itu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, terdapat 301 kes tatatertib yang masih dalam tindakan dan siasatan, termasuk 227 kes berkaitan pintu masuk negara setakat ini.
“Sepanjang 2024, Imigresen menyelesaikan 254 kes tatatertib. Bagi tahun ini pula, sebanyak 199 kes berjaya ditangani, manakala
sejak 2022 hingga tahun ini, seramai 60 pegawai dibuang kerja atas pelbagai masalah salah laku,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Baca juga : Pegawai imigresen suami, isteri disyaki buka kedai emas hasil wang rasuah ditahan SPRM
Zakaria menegaskan, tindakan berterusan itu membuktikan kesungguhan JIM melaksanakan tanggungjawab tatatertib berlandaskan prinsip Kerajaan Madani.
“Tindakan ini menunjukkan usaha memastikan warga kerja kekal berintegriti, beramanah dan bertanggungjawab dalam melindungi kedaulatan negara serta kepentingan rakyat,” katanya.
Zakaria menambah, JIM memandang serius isu salah laku dan tidak akan berkompromi terhadap pegawai atau anggota yang terbabit.
“Isu keselamatan negara amat ditekankan Imigresen dalam usaha membendung masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) dan jenayah berkaitan warga asing,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan pelbagai barangan mewah termasuk barang kemas seberat kira-kira 3.2 kilogram bernilai anggaran RM1.6 juta dan 75 kepingan emas bernilai kira-kira RM400,000 disita daripada enam individu termasuk lima pegawai Imigresen untuk siasatan kes ‘counter setting’.
Sitaan itu dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor pada minggu lalu.
Operasi sama menahan sekurang-kurangnya 20 pegawai serta anggota Imigresen dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















