Kereta polis didakwa langgar lampu merah, anggota sudah dikenal pasti
SEREMBAN – Polis mengesahkan sudah mengenal pasti anggota yang terlibat dalam kejadian sebuah kereta peronda didakwa melanggar lampu isyarat merah di persimpangan NSK, Jalan Haruan 2, di sini pada 16 September lalu.
Rakaman kejadian yang berlaku sekitar jam 12.20 tengah malam itu tular di media sosial dan mencetuskan perhatian ramai selepas kenderaan polis berkenaan hampir berlanggar dengan pengguna jalan raya lain.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pihaknya telah mengambil maklum mengenai video tersebut dan siasatan dalaman sedang dijalankan.
“Keadaan sebenar kejadian sudah dikenal pasti dan selepas siasatan selesai, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap anggota yang terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menegaskan, semua pegawai serta anggota polis tertakluk kepada undang-undang jalan raya, kecuali dalam situasi tertentu yang melibatkan tugasan kecemasan bagi tujuan keselamatan serta kelancaran operasi.
“Sekiranya terdapat pelanggaran prosedur, tindakan akan diambil mengikut peraturan sedia ada,” ujarnya.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh menimbulkan kekeliruan.
“Maklumat rasmi hanya boleh dirujuk melalui saluran PDRM. Penyebaran berita tidak tepat boleh mengganggu ketenteraman awam,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















