Tengku Zafrul tampil kongsi sijil halal restoran Cina selepas dikecam netizen
PULAU PINANG – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tampil berkongsi sijil halal sebuah restoran Cina yang dikunjunginya selepas menerima kecaman daripada pengguna media sosial.
Menurut Zafrul, ketika berada di kedai itu, beliau melihat sijil halal dipamerkan dan turut berkongsi gambar sijil berkenaan dalam hantarannya di media sosial.
“Ada yang kata bila check (periksa) di laman web JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), sijil halal dah ditarik balik, tapi bila kita tengok ada sijil halal di kedai, jaranglah kita nak periksa dua kali di portal pula,” katanya di Facebook semalam.
Tengku Zafrul sebelum itu berkongsi gambar beliau bersama keluarga menikmati hidangan di restoran yang menerima pengiktirafan Michelin itu.
“Panjang betul orang beratur kat Penang Road Famous Laksa. Betullah kata orang, kalau sedap, memang orang sanggup beratur.
“Tambah lagi restoran yang ada pengiktirafan Michelin! Bukan senang nak dapat.
“Dah habis laksa, kita sambung pula dengan cendol. Tak sah datang Penang kalau tak pekena cendol. Kalau datang Penang, bolehlah cuba singgah sini,” katanya.
Walau bagaimanapun, tindakan beliau makan di restoran berkenaan dipertikai segelintir pengguna maya.
“Kami orang Penang pun tak masuk sebab terang-terang kedai Cina. Kedai Melayu berlambak lagi ada,” kata seorang pengguna.
“Makanan yang syubhah (meragukan), astaghfirullahalazim,” kata seorang lagi pengguna.


Sementara itu, akhbar berbahasa Mandarin, Guang Ming Daily melaporkan, sijil halal restoran itu dibatalkan pada bulan Jun, sedangkan kunjungan Tengku Zafrul berlaku pada Mei.
Pemilik kedai, Leow Woo Taid berkata, pembatalan sijil halal itu tidak berkaitan dengan bahan makanan, sebaliknya kerana isu peluasan premis ke unit bersebelahan.
Leow berkata, selepas sijil halal
dibatalkan, pihaknya telah menurunkan sijil berkenaan, sambil menyatakan kesediaan untuk memohon semula sijil berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








