Polis tahan penjawat awam terlibat insiden pertengkaran jalan raya
KAJANG – Seorang penjawat awam ditahan polis selepas dikaitkan dengan insiden pertengkaran di jalan raya yang membawa kepada kemalangan berhampiran Plaza Tol Bangi, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, lelaki berusia 25 tahun itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang kira-kira pukul 9.50 malam tadi.
Beliau berkata, polis turut merampas sebuah Perodua Myvi milik suspek di kawasan Dang Wangi selepas penahanan dibuat.
“Suspek kemudiannya direman pagi tadi dengan diwakili peguam dan Majistret membenarkan reman sehari bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Naazron mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 31 tahun yang juga eksekutif syarikat swasta berhubung kejadian tersebut.
Mangsa mendakwa kenderaannya dihimpit sebuah Perodua Myvi selepas Plaza Tol Bangi kira-kira pukul 6.10 pagi kelmarin sebelum bahagian kiri hadapan keretanya dilanggar suspek.
Kejadian itu mencetuskan pertengkaran di tepi jalan apabila suspek didakwa menengking selain melakukan gerakan seolah-olah mahu memukul mangsa serta menuduh mangsa menukar lorong tanpa memberi isyarat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara gopoh hingga mendatangkan mudarat, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000, jika sabit kesalahan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














