ADUN Kota Anggerik turut jadi mangsa pemerasan siber
CYBERJAYA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi menjadi mangsa terbaharu pemerasan siber yang membabitkan kandungan pornografi dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor itu memberitahu, beliau menerima e-mel berbaur ugutan daripada satu akaun tidak dikenali, dua hari lalu.
Selain mesej ugutan yang meminta beliau membayar wang sebanyak AS$100,000, e-mel tersebut turut mengandungi tangkap layar video yang disunting menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan memaparkan gambar wajahnya.
“Saya ingin menegaskan bahawa ugutan seumpama ini adalah satu perbuatan jenayah yang sangat serius serta bertujuan mengancam keselamatan dan menjatuhkan maruah saya.
“Justeru, saya telah membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) supaya siasatan lanjut dijalankan berhubung penyalahgunaan teknologi AI serta cubaan menyebarkan fitnah menerusi penyebaran video pornografi,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, hari ini.
Najwan menambah, beliau akan membuat laporan polis supaya siasatan menyeluruh dapat dijalankan berhubung ugutan di sebalik e-mel ini.
“Saya percaya dalang di sebalik ugutan ini mengguna pakai modus operandi yang sama seperti yang turut diterima Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli, YB Wong Chen dan YB Mohammed Taufiq Johari.
“Justeru, saya menyeru masyarakat supaya berwaspada dengan sebarang bentuk penipuan atau ugutan melalui internet.
Penyebaran kandungan palsu dan fitnah sebegini bukan sahaja mencemarkan maruah individu bahkan turut mengancam keselamatan dan keharmonian masyarakat,” katanya.
Semalam, Rafizi memberitahu beliau menjadi mangsa pemerasan berkaitan video seks.
Pada masa yang sama, katanya, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen memaklumkan kepadanya bahawa beliau turut menerima e-mel ugutan yang sama.
Ugutan sama turut diterima Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |










