BERITA SEMASA

Himpunan Daulat Tuanku selaras pendirian kerajaan negeri – EXCO Selangor

CYBERJAYA – Himpunan Daulat Tuanku yang dicadang diadakan di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam, Sabtu ini adalah selaras pendirian konsisten kerajaan negeri dalam mempertahankan agama Islam, kepentingan Melayu dan kedaulatan institusi diraja.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, beliau menyambut baik objektif himpunan itu dan berharap ia dapat berlangsung secara aman serta tidak mengganggu ketenteraman awam.

“Semoga himpunan yang dirancang diadakan secara aman, tertib dan tidak mengganggu ketenteraman awam.

“Saya telah berhubung dengan Ketua Polis Selangor dan memohon pihak polis memudah cara himpunan ini supaya ia berjalan dalam keadaan selamat dan terkawal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut memberitahu, Pejabat Menteri Besar Selangor akan menyediakan makanan dan minuman kepada peserta yang hadir ke himpunan tersebut.

Kata Najwan, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad.

Laporan media sebelum ini menyebut, kira-kira 500 peserta termasuk penyokong beberapa parti politik dijangka menyertai Himpunan Daulat Tuanku susulan kontroversi membabitkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar dipetik sebagai berkata, himpunan itu mendapat sokongan beberapa parti politik lain termasuk Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button