BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

MITI raih potensi pelaburan RM450 juta dalam sektor E&E dan jentera dari Belanda

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berjaya meraih potensi pelaburan bernilai RM450 juta melalui misi perdagangan dan pelaburan ke Belanda baru-baru ini.

MITI dalam kenyataan hari ini berkata, pelaburan berpotensi itu melibatkan sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta jentera, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan syarikat teknologi Eropah.

“Pelaburan ini dijangka menggalakkan pengembangan asas pembuatan berteknologi tinggi di Malaysia membuka peluang pekerjaan berkemahiran.

“Selain itu, ia juga akan memperkukuh kerjasama penyelidikan serta pembangunan (R&D) dalam teknologi semikonduktor, tenaga boleh diperbaharui dan aplikasi Industri 4.0,” kata MITI.

Baca juga: Malaysia lonjak 11 anak tangga dalam Penarafan Daya Saing Dunia 2025

Sepanjang misi itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz telah mengadakan pertemuan dengan agensi pembangunan wilayah dan konsortium industri yang memainkan peranan penting dalam agenda pembangunan semikonduktor Belanda.

Agensi dan konsortium tersebut termasuk Brabant Regional Development Cooperation, East Netherlands Development Agency dan Brainport Industries.

“Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh perkongsian industri dan daya tahan rantaian bekalan, bagi membuka peluang bersama dalam sektor teknologi bernilai tinggi,” katanya.

Dalam sesi itu juga, Tengku Zafrul menegaskan kedudukan Malaysia sebagai hab utama di Asia Tenggara dalam rantaian bekalan syarikat Eropah bagi sektor semikonduktor, elektronik, kejuruteraan berketepatan, automasi dan bidang berkaitan.

Tengku Zafrul berkata, misi tersebut mengukuhkan hubungan ekonomi erat Malaysia-Belanda, selain membawa negara lebih hampir merealisasikan sasaran pelaburan bernilai RM500 bilion dalam semikonduktor dan E&E bernilai tinggi menjelang 2030.

“Dengan menyelaras kerjasama bersama rakan strategik Belanda dan menarik potensi pelaburan RM450 juta, kita mempercepatkan usaha di bawah Strategi Semikonduktor Negara serta menyokong matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab utama rantaian bekalan semikonduktor global,” katanya.

Beliau menambah, misi itu sejajar dengan strategi Malaysia menarik pelaburan berkualiti, memperdalam kerjasama ekonomi dan memastikan daya saing jangka panjang dalam rantaian bekalan teknologi global.

Sementara itu, misi tersebut turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Kerjasama (MoC) bersejarah dalam industri semikonduktor antara Tengku Zafrul dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Belanda, Vincent Karremans di The Hague.

“MoC itu mengukuhkan lagi peranan Malaysia sebagai rakan strategik dalam rantaian bekalan semikonduktor global,” jelas MITI.

Belanda merupakan destinasi eksport terbesar Malaysia di Kesatuan Eropah (EU) pada 2024 selain rakan dagang kedua terbesar dalam blok itu dengan jumlah dagangan mencecah RM41.26 bilion.

Momentum positif itu berterusan tahun ini apabila dagangan dua hala dari Januari hingga Julai 2025 melonjak 15.9 peratus kepada RM25.76 bilion (AS$5.92 bilion).

Belanda juga merupakan pelabur keempat terbesar di Malaysia dengan 314 projek pembuatan bernilai RM103.8 bilion (AS$25.0 bilion) telah dilaksanakan sehingga Jun 2025, yang mencipta 55,053 peluang pekerjaan di negara ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button