Tindakan pecah-belah negara perlu dihalang dengan tegas – PM
SERDANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang usaha untuk memecah-belahkan negara atas dasar kaum, kabilah atau wilayah mesti dihalang dengan tegas kerana kepentingan Malaysia jauh mengatasi fahaman sukuan dan daerah.
Dalam Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 di sini hari ini, beliau menekankan bahawa sejarah dunia membuktikan tidak ada negara mampu bertahan jika dibiarkan hasutan kebencian antara kaum berakar.
“Percayalah, sebagai pelajar dan pengagung sejarah, tidak ada negara boleh bertahan jika menerima hasutan antara kaum.
“Berilah cadangan apa pun, termasuk mutakhir ini, pembangunan semula bandar masih dihadapi kaum, masih ditanam dan dihasut rasa takut,” tegas Anwar.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri Komuninasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Anwar menegaskan, rasa bangga terhadap identiti masing-masing tidak boleh dijadikan alasan untuk meremehkan kaum lain.
“Saya tetap Melayu, bangga dengan bahasa dan budaya Melayu yang agung. Tetapi kebanggaan ini tidak boleh menghina atau memadamkan budaya lain. Ia bukan ‘zero sum game’ yang menonjolkan kekuatan satu kaum dengan merendahkan yang lain,” ujarnya.
Beliau menambah, kaum Cina dan India juga tidak harus meminggirkan kepelbagaian budaya negara dengan hanya menjulang tamadun sendiri.
“Hanya dengan semangat kebangsaan yang menyatukan, kita dapat membina kekuatan sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Perdana Menteri turut mengingatkan ada negara yang hancur kerana pimpinan yang taksub dengan sentimen sesuatu agama, kaum dan bahasa sehingga tidak mempedulikan kepentingan kaum dan agama lain.
Justeru, katanya, Malaysia harus bekerja keras mempertahankan kesatuan yang dibina sejak 68 tahun lalu, dengan menjaga sentimen antara satu sama lain.
“Cari negara pelbagai kaum di mana semangat perpaduan sekental dan sehebat Malaysia. Saya tabik kepada rakyat Malaysia yang tekad mempertahankan semangat ini, bukan 10 atau 20 tahun tapi sudah 68 tahun kita bertahan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








