Tolak prasangka perkauman dalam isu pembangunan semula bandar – PM
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu rakyat di negara ini mengubah cara berfikir selaras dengan kemerdekaan Malaysia yang telah melebihi setengah abad.
Menurut Perdana Menteri, ia termasuk dalam isu pembaharuan kawasan perumahan bandar tanpa menanam prasangka perkauman.
“Usah terus menanam bibit prasangka kaum yang berlebihan, terutamanya melibatkan pembaharuan semula kawasan-kawasan perumahan di bandar-bandar kerana yang akan menerima akibatnya adalah fabrik sosial masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan bahawa tiada undang-undang yang sempurna termasuk berkaitan perancangan memperbaharui bandar.
“Kita juga mengakui dan sedia maklum bahawa tidak ada undang-undang yang sempurna, termasuk rancangan memperbaharui bandar.
“Lantas, di Parlimen saya tegaskan bahawa kita terbuka dan bersedia memperbaiki, menambahbaik, dan menyempurnakan tatacara agar kita dapat menangani masalah miskin bandar dan perumahan daif dengan lebih berdampak,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menambah, wacana berkaitan akta berkenaan perlu dibincang dengan sihat tanpa dipengaruhi naratif perkauman.
“Saya bersikap senang dengan wacana yang ada melibatkan akta ini. Namun, jangan kita kelirukan masyarakat dengan dakyah dan naratif perkauman.
“Jika isunya adalah kadar ambang, tawarkan alternatif. Dan sekiranya isunya melibatkan ‘gentrification’, maka usul dan bahaskannya dengan penyelesaian yang lebih terangkum. Bukan terus-terusan menghambur kebencian kaum,” katanya.
Menurut Perdana Menteri lagi, kuasa yang ada mesti digunakan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan bukannya hanya berbangga dengan pembangunan fizikal semata-mata.
“Kuasa yang ada mesti dihalakan ke arah mengangkat taraf hidup dan kesejahteraan rakyat.
“Kita lekas berbangga dengan barisan pencakar langit dan mercu tanda di sekitar kota, gedung-gedung megah mengelilingi bandar tapi sekiranya kita pejamkan mata dan bungkam kepada masalah di depan mata, maka ia adalah puncak ketidakadilan yang nyata,” katanya lagi.
Anwar dalam pada itu mengajak seluruh rakyat menghayati semangat kemerdekaan dengan mengutamakan keadilan dan kemakmuran bersama.
“Mari bersama kita semangati kemerdekaan dengan berikhtiar sebaiknya dan cari jalan yang munasabah agar dapat kita natijahkan keadilan dan kemakmuran bersama,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















