FGV rasmi dikeluarkan dari Bursa Malaysia
KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad (FGV) secara rasmi dikeluarkan daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia berkuat kuasa pukul 9 pagi tadi, setelah dagangan saham syarikat itu digantung sejak 25 Ogos lalu.
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dalam satu kenyataan berkata, setakat ini FELDA bersama Persons Acting in Concert (PACs) memgang 95.29 peratus daripada jumlah keseluruhan saham FGV.
“Langkah ini menandakan permulaan fasa baharu dalam memperkukuh struktur korporat, mengoptimumkan operasi ladang serta meningkatkan pulangan ekonomi kepada FELDA dan peneroka.
“Dengan penamatan penyenaraian FGV, FELDA kini berupaya mengawal sepenuhnya rantaian nilai industri sawit negara,” kata kenyataan itu, hari ini.
Kawalan penuh itu merangkumi pengurusan hasil dan kos operasi ladang yang dijangka memberi impak langsung kepada peningkatan produktiviti, pengurangan kos serta pemaksimuman pulangan secara konsisten.
FELDA percaya pendekatan itu akan menjadikan operasi syarikat lebih cekap dan strategik dalam jangka panjang.
Sementara itu, pemegang saham yang menolak Tawaran Pengambilalihan Sukarela Tanpa Syarat (Dissenting Holders) masih berhak menjual pegangan saham mereka kepada FELDA.
“Tarikh akhir bagi pelaksanaan hak tersebut ialah 15 Januari 2026 sebelum pukul 5 petang, selaras dengan notis rasmi FELDA bertarikh 22 Ogos 2025,” katanya lagi.
FELDA menegaskan, pengambilalihan penuh itu akan membuka ruang kepada penyusunan semula ekosistem Kumpulan FELDA secara menyeluruh.
Ia dijangka memberi manfaat kepada pemegang taruh, khususnya peneroka yang menjadi tunjang kepada kelangsungan FELDA.
Di peringkat global, FELDA yakin langkah itu turut mampu meningkatkan daya saing industri sawit Malaysia.
“Dengan kawalan lebih menyeluruh terhadap pengeluaran dan pasaran, FELDA dilihat berupaya bersaing dengan pengeluar utama lain di rantau ini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








