JUPEBIM gesa syarikat, agensi kerajaan libatkan jurubahasa isyarat bertauliah
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebangsaan Jurubahasa dan Penterjemah Bahasa Isyarat Malaysia (JUPEBIM) menyeru syarikat, agensi kerajaan dan masyarakat umum melibatkan penggunaan jurubahasa Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) bertauliah dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan, kesihatan, media dan perkhidmatan awam.
JUPEBIM dalam satu kenyataan hari ini berkata, pendekatan inklusif itu penting bagi memastikan akses komunikasi yang setara kepada komuniti pekak selain mengiktiraf peranan jurubahasa isyarat sebagai golongan profesional terlatih dan beretika.

“Sudah tiba masanya tanggapan bahawa tugas jurubahasa isyarat sekadar kebajikan diubah.
“RUU Pekerja Gig yang akan dibentangkan di Parlimen ini adalah anjakan paradigma yang mengiktiraf sumbangan jurubahasa sebagai tenaga profesional penting kepada pembangunan negara,” katanya.
Sementara itu, JUPEBIM turut menyambut baik keputusan kerajaan mengiktiraf jurubahasa isyarat, penterjemah dan penulis transkripsi sebagai pekerja gig bukan platform dalam Rang Undang-Undang Pekerja Gig.
Pengiktirafan itu, menurutnya, bukan sahaja menegaskan status profesional jurubahasa tetapi memastikan peranan mereka dalam menjamin aksesibiliti dan kesaksamaan komunikasi diiktiraf secara undang-undang.
Antara perkara utama digariskan dalam RUU tersebut termasuk perlindungan hak pekerja gig, penetapan tanggungjawab entiti pengupah, syarat perjanjian perkhidmatan, mekanisme penyelesaian pertikaian, penubuhan Majlis Perundingan Tribunal Pekerja Gig serta jaminan keselamatan, kesihatan dan perlindungan sosial.
“Pengiktirafan melalui undang-undang ini bukan sekadar soal klasifikasi pekerjaan, tetapi menyentuh maruah, aksesibiliti dan kesaksamaan.
“Ia membawa Malaysia selangkah lebih dekat ke arah menjadi masyarakat benar-benar inklusif,” kata kenyataan itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





