BERITA SEMASA

Pembaharuan kerjasama strategik Malaysia-WOSM lambang kestabilan, bukti Pengakap berakar umbi di rantau ini

KUALA LUMPUR – Pembaharuan kerjasama strategik antara Pertubuhan Pengakap Sedunia (World Organization of the Scout Movement, WOSM) dan kerajaan Malaysia dalam pembangunan belia baru-baru ini adalah lambang kukuh kestabilan serta bukti jelas bahawa pergerakan Pengakap telah berakar umbi dengan mendalam di rantau ini.

Setiausaha Agung WOSM, David Berg juga merakamkan penghargaan kepada usaha gigih Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) yang telah merealisasikan kejayaan penempatan Biro Pengakap Sedunia di negara ini.

“Saya amat berbesar hati dapat bersama anda semua di Pusat Sokongan Global di Kuala Lumpur pada hari ini. Tempat ini bukan sahaja menjadi ibu pejabat Pengakap Sedunia, tetapi juga ‘rumah’ yang kita banggakan di rantau Asia Tenggara,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Kerjasama Persatuan Pengakap Rantau Asia Tenggara Ke-20, hari ini.

Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan Thailand, Tewan Liptapallop; Ketua Pengakap Negara, Datuk Prof Dr Mohd Zin Bidin dan Pengerusi SEASARC, Dr Somboon Bunyasiri.

Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan (KPM) dan WOSM telah memperbaharui komitmen kerjasama selama sedekad, dengan fokus kepada pendidikan belia dan pembangunan mampan di Malaysia serta rantau Asia-Pasifik.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan David selaku Setiausaha Agung WOSM dalam satu majlis di ibu kota.

Sementara itu, David menekankan bahawa pergerakan Pengakap global kini berada pada tahap pertumbuhan bersejarah selepas berjaya mencapai 60 juta ahli di seluruh dunia pada tahun ini.

“Namun, kejayaan ini hadir dengan tanggungjawab. Angka 60 juta itu tidak terjamin selamanya dan boleh menurun sekiranya kita leka.

“Justeru, menjadi kewajipan kita sebagai pemimpin di peringkat kebangsaan, serantau dan global untuk memastikan Pengakap terus relevan, inovatif dan boleh diakses oleh lebih ramai belia pada masa hadapan,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Zin menegaskan Malaysia berbangga menjadi tuan rumah kepada Biro Pengakap Sedunia, serta berharap ia akan terus kekal di negara ini untuk tempoh yang panjang.

Katanya, Malaysia komited untuk memastikan WOSM diberi sokongan padu dalam menjalankan kerja-kerja pentingnya.

Beliau memberi jaminan bahawa PPM akan terus menyokong Biro Pengakap Sedunia dan mengukuhkan kerjasama erat bersama rakan-rakan Pengakap ASEAN, agar pergerakan ini terus subur, berkembang dan memberi inspirasi di seluruh rantau.

Mohd Zin seterusnya mengingatkan semua pihak bahawa semangat Pengakap adalah bersifat sejagat dan harus dibawa ke dalam setiap perbincangan serta usaha masa depan.

“Semoga mesyuarat ini mengeratkan lagi persahabatan kita, dan membuka jalan kepada lebih banyak kejayaan bersama di seluruh negara anggota,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button