KPT nafi pertimbang keluarkan ‘Graduate Pass’ kepada 10,000 pelajar Bangladesh
PUTRAJAYA – Dakwaan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mempertimbangkan pengeluaran ‘Graduate Pass’ kepada 10,000 pelajar Bangladesh bagi membolehkan mereka bekerja di Malaysia adalah tidak benar dan tidak tepat sama sekali.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, dakwaan dibuat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah itu hanya berpandukan laporan akhbar di Bangladesh.
“Sebagai penjelasan, semasa lawatan (Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh) Prof. Dr. Muhammad Yunus baru-baru ini, tidak ada sebarang MoU (Memorandum Persefahaman) atau perjanjian ditandatangani yang mengikat Malaysia untuk menerima 10,000 pelajar Bangladesh bekerja di negara ini.
“Dakwaan bahawa wujud perjanjian sedemikian adalah tidak berasas,” kata Zambry dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Dr Haim Hilman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi & Inovasi Negeri Kedah, mengeluarkan kenyataan sedemikian ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.
Zambry dalam kenyataan sama turut menasihati Dr Haim Hilman supaya lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan memandangkan beliau memiliki latar belakang akademik.
“Sebagai seorang berlatarkan akademik, beliau seharusnya membuat kenyataan berdasarkan fakta yang benar, tepat, dan sahih, bukannya spekulasi atau menyebarkan maklumat semberono.
“Prinsip akademik menuntut kepada informasi yang berintegriti, bertepatan dan kebenaran,” kata Zambry lagi.
Beliau dengan tegas turut mengingatkan Dr Haim Hilman supaya tidak sewenang-wenangnya mencipta persepsi dengan menyampaikan maklumat yang tidak tepat serta mengelirukan rakyat.
“Budaya menghasilkan ‘content’ untuk diviralkan di media sosial dengan fakta yang salah perlu segera dihentikan,” kata Zambry lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








