BERITA SEMASA

TUDM gantung operasi tujuh pesawat Hornet susulan insiden

KUANTAN – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menggantung sementara semua operasi penerbangan tujuh pesawat pejuang F/A-18D Hornet berkuat kuasa serta-merta hari ini susulan insiden membabitkan salah sebuah pesawat berkenaan semalam.

Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, langkah itu perlu bagi memberi ruang kepada lembaga siasatan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap punca kejadian.

“Selagi punca sebenar tidak dikenal pasti, adalah tidak wajar untuk kita meneruskan penerbangan. Jika ia berpunca daripada enjin, siasatan penuh perlu dilaksanakan supaya kejadian sama tidak berulang.

“Sebaik sahaja hasil siasatan diperoleh, lembaga akan bersidang untuk membuat ketetapan,” katanya memetik laporan Kosmo online.

Mengulas mengenai bangkai pesawat, Muhamad Norazlan menjelaskan ia masih berada di lokasi kejadian dan belum dikeluarkan sehingga siasatan selesai.

Katanya lagi, kedudukan bangkai pesawat di luar landasan tidak menjejaskan operasi penerbangan di pangkalan udara itu. TUDM juga telah membuat pemetaan terhadap semua serpihan yang ditemui untuk membantu pasukan penyiasat.

Beliau menambah, operasi penerbangan di Pangkalan Udara Kuantan dijangka kembali berjalan seperti biasa selepas semua cebisan pesawat yang berada di landasan dibersihkan.

Sementara itu, mengenai juruterbang yang mengendalikan pesawat tersebut, beliau mengesahkan bahawa pegawai berkenaan memiliki pengalaman luas berdasarkan jumlah jam penerbangan serta memegang kategori tertinggi dalam kesiapsiagaan operasi.

Difahamkan, TUDM kini hanya memiliki tujuh buah F/A-18D Hornet selepas sebuah pesawat musnah dalam kejadian semalam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button