BERITA SEMASA

Kerajaan buka semula permohonan kuota pekerja asing bagi sektor, subsektor tertentu

KUALA LUMPUR – Permohonan kuota pekerja asing bagi beberapa sektor dan subsektor tertentu akan dibuka semula.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu hasil mesyuarat jawatankuasa bersama antara kementeriannya dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Jelas beliau, permohonan akan dibuka semula mengikut kes, membabitkan tiga sektor dan 10 subsektor, tertakluk pada syor daripada kementerian yang berkaitan.

“Bagi sektor pertanian, perladangan dan perlombongan, semua subsektor dibenarkan,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Bukit Kiara, hari ini.

Bagi sektor perkhidmatan pula, subsektor yang dibenarkan merangkumi pemborong dan peruncit, penggudangan, kawalan keselamatan, barangan logam dan lusuh, restoran, dobi, pengendalian kargo dan perkhidmatan pembersihan.

Sementara itu, bagi sektor pembinaan, permohonan hanya dibuka untuk projek-projek kerajaan, dan bagi sektor perkilangan, ia hanya dibenarkan untuk perniagaan melibatkan pelaburan baharu yang diluluskan bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida).

Saifuddin kemudian menegaskan, amalan membenarkan permohonan kuota oleh ‘sesiapa sahaja’ kini dihentikan.

“Sebelum ini, majikan boleh memohon, ejen pun boleh memohon. Sekarang tidak lagi. Untuk tiga sektor dan 10 subsektor ini, hanya agensi kawal selia berkenaan yang boleh mengangkat permohonan,” jelasnya.

Beliau menambah, penggiat industri dalam sektor dan subsektor yang dibenarkan perlu mengemukakan permohonan menerusi kementerian masing-masing untuk disemak oleh jawatankuasa teknikal pengurusan pekerja asing.

Jawatankuasa itu, katanya, dianggotai oleh timbalan-timbalan ketua setiausaha kementerian yang terlibat.

“Sebagai contoh, pengusaha ladang perlu memohon melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi, pengusaha pertanian melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, manakala pengusaha restoran melalui KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup).

“Jawatankuasa (teknikal) ini akan melakukan verifikasi sebelum mengangkat (permohonan) untuk dimuktamadkan pada peringkat mesyuarat jawatankuasa bersama saya dengan (Menteri Sumber Manusia) Steven (Sim),” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button