BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

Kuota PLKN 3.0 Siri 2/2026 meningkat, pelatih boleh mula semak status 1 tengah hari ini

KUALA LUMPUR – Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) meningkatkan kuota pengambilan pelatih bagi Program Latihan Khidmat Negara 3.0 (PLKN 3.0) Siri 2/2026 yang akan berlangsung selama 45 hari bermula 25 April hingga 8 Jun ini.

Langkah itu dibuat susulan penggunaan Kem MALBATT Village di Port Dickson yang mampu menempatkan 600 pelatih, berbanding dua kem yang digunakan sebelum ini iaitu Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di Kuala Lumpur dan Kem Rejimen 505 Askar Wataniah di Pekan.

Ketua Pengarah JLKN, Ya’cob Samiran berkata, pelatih bagi Siri 2/2026 melibatkan daftar kelahiran tahun 2008 boleh membuat semakan melalui Sistem ePLKN 3.0 di pautan https://plkn.mod.gov.my/pelatih/semakan/form bermula pukul 1 tengah hari ini.

Menurutnya, tarikh akhir bagi pengesahan maklum balas tawaran atau kehadiran ditetapkan pada Jumaat, 3 April ini.

“Selain tiga kem yang akan digunakan, pembukaan kem baharu seterusnya akan dilaksanakan secara berperingkat tertakluk kepada ketersediaan dan ia akan diumumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah beliau, berdasarkan perancangan kuota semasa, penggunaan MALBATT Village sebagai fasiliti sementara bagi siri 2/2026 akan menempatkan 350 pelatih lelaki dan 250 pelatih wanita.

Katanya, walaupun pelatih berlainan jantina ditempatkan dalam kawasan kem yang sama, pelaksanaan latihan tetap mengekalkan pengasingan sepenuhnya mengikut kompeni termasuk kawasan penginapan, aktiviti latihan serta pergerakan harian sepanjang program berlangsung.

“JLKN memberi jaminan kepada ibu bapa bahawa aspek keselamatan, keselesaan dan kebajikan pelatih sentiasa menjadi keutamaan sepanjang tempoh latihan selama 45 hari dijalankan di kem ini.

“Penambahan kuota ini membuka peluang kepada lebih ramai belia untuk menyertai PLKN 3.0.

“Usaha ini sekali gus memperkukuh komitmen kerajaan dalam merealisasikan objektif PLKN 3.0 untuk membentuk generasi muda yang mempunyai jati diri, patriotik, bersatu padu serta membudayakan semangat kesukarelawanan yang tinggi,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button