Pelatih terjejas diberi keutamaan Intake Ke-2 PLKN, layak tuntut bayaran perjalanan
KUALA LUMPUR – Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 1/2026 yang terkesan akibat lebihan kehadiran di Kem Latihan Khidmat Negara (CLKN) 505 Angkatan Wataniah (AW) di Pekan, Pahang semalam akan diberikan keutamaan penuh untuk kemasukan Intake Ke-2 tanpa perlu melalui proses pemilihan semula, selain layak menuntut bayaran perjalanan mengikut garis panduan sedia ada.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Ya’cob Samiran berkata, keputusan tersebut dibuat sebagai langkah tanggungjawab dan komitmen terhadap kebajikan pelatih yang terpaksa diarahkan pulang sementara waktu susulan kehadiran pelatih yang melebihi kapasiti maksimum pusat latihan berkenaan.

Tambah beliau, pihaknya juga memohon maaf atas kesulitan yang berlaku, di samping merakamkan penghargaan kepada ibu bapa dan penjaga atas sokongan luar biasa terhadap pelaksanaan PLKN 3.0.
“Kita tidak menyangka jumlah kehadiran pada hari pendaftaran melebihi kapasiti yang ditetapkan.
“Namun, demi memastikan kualiti latihan, keselesaan penginapan serta keselamatan pelatih terjamin, JLKN terpaksa mengambil keputusan berat untuk menangguhkan pendaftaran sebahagian pelatih dan memohon mereka pulang ke kediaman masing-masing buat sementara waktu,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau menegaskan, keputusan tersebut bukan satu penolakan, sebaliknya langkah penyelarasan operasi bagi memastikan setiap pelatih menerima pengalaman latihan yang kondusif dan berkualiti.
Menurut beliau, berdasarkan trend siri-siri terdahulu, kadar ketidakhadiran (no-show) yang tinggi sering direkodkan, justeru JLKN mengambil pendekatan overbooking sebagai strategi pengurusan ruang bagi memastikan setiap slot latihan dapat diisi sepenuhnya.
“Namun, kehadiran pada Siri 1/2026 ini adalah amat luar biasa dan di luar jangkaan.
“Situasi ini jelas membuktikan bahawa PLKN 3.0 kini semakin mendapat tempat istimewa dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Berdasarkan data rasmi JLKN, kapasiti asal dua kem latihan bagi PLKN Siri 1/2026 adalah seramai 750 pelatih, melibatkan Kem Pekan, Pahang (500 pelatih lelaki) dan Kem Kuala Lumpur (250 pelatih wanita).
Bagi menampung kehadiran pelatih yang hadir secara walk-in, kapasiti maksimum kem telah ditingkatkan kepada 839 pelatih iaitu Kem Pekan, Pahang (556 pelatih) dan Kem Kuala Lumpur (283 pelatih)
Bagaimanapun, isu lebihan ketara berlaku di Kem Pekan, Pahang apabila seramai 838 pelatih lelaki melaporkan diri semalam termasuk 282 pelatih walk-in.
Daripada jumlah lebihan tersebut, hanya 28 pelatih lelaki dapat diterima masuk selepas pengubahsuaian dan penyesuaian pentadbiran dilaksanakan, manakala 254 pelatih lelaki terpaksa disaran pulang sementara waktu untuk dibawa ke siri latihan seterusnya.
Jumlah itu merangkumi calon balloting dan sukarela yang menerima surat tawaran tetapi tidak membuat pengesahan kehadiran, namun hadir pada hari pendaftaran.
Sementara itu, Kem 515 Kuala Lumpur (Wanita) tidak mengalami isu lebihan kritikal apabila 33 pelatih wanita walk-in berjaya diterima sepenuhnya selepas pengurusan dalaman dilaksanakan.
JLKN turut memaklumkan, unjuran pengambilan seramai 950 pelatih iaitu lebihan kira-kira 27 peratus daripada kapasiti asal dibuat bagi menampung risiko ketidakhadiran berdasarkan rekod Siri 1 hingga Siri 3 Tahun 2025, yang mencatatkan kadar no-show antara 41 hingga 70 peratus.
Daripada keseluruhan 315 pelatih walk-in (282 lelaki dan 33 wanita), hanya 61 orang atau 7.2 peratus berjaya diterima masuk di kedua-dua kem pada hari pendaftaran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







