BERITA SEMASAPMXPOLITIK

Kerajaan hormati keputusan Rafizi, Nik Nazmi undur diri – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keputusan pengunduran Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad daripada jawatan menteri adalah atas pertimbangan peribadi masing-masing dan dibuat berdasarkan prinsip yang dipegang mereka.

Menurut Anwar, kerajaan menghormati langkah diambil kedua-dua Ahli Parlimen PKR itu, malah yakin mereka akan terus menyumbang khidmat sebagai wakil rakyat di Dewan Rakyat demi kepentingan rakyat serta pembangunan negara.

“Kerajaan menghormati keputusan ini dan dalam masa sama menzahirkan keyakinan kedua-dua Yang Berhormat akan terus menabur bakti serta memainkan peranan aktif sebagai Ahli Parlimen demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kasim (PN-Arau) berhubung dakwaan kononnya Kerajaan MADANI kini goyah susulan pengunduran dua pemimpin PKR itu, menerusi jawapan bertulis yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen, hari ini.

Selain itu, Shahidan turut membangkitkan persoalan mengenai peletakan jawatan tersebut yang didakwanya menimbulkan persepsi bahawa kerajaan berada dalam keadaan tidak stabil, selain mempersoalkan kerelevanan penggunaan istilah ‘Kerajaan Perpaduan’.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan bahawa Kerajaan MADANI kekal utuh dengan sokongan padu daripada semua parti komponen yang membentuk kerajaan pada masa ini.

“Kerjasama erat dan semangat saling menghormati dalam kalangan parti-parti ini menjadi asas kepada kesinambungan pentadbiran negara dan pelaksanaan agenda reformasi,” ujarnya.

Pada 28 Mei lalu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan dan Nik Nazmi selaku Ahli Parlimen Setiawangsa mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, masing-masing berkuat kuasa 17 Jun dan 4 Julai.

Langkah itu dibuat susulan kekalahan mereka mempertahankan jawatan sebagai Timbalan Presiden dan Naib Presiden PKR dalam pemilihan parti yang berlangsung pada Mei lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button