BERITA SEMASA

Malaysia prihatin krisis keterjaminan makanan global – Mohamad Sabu

INCHEON – Kerajaan menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap krisis keterjaminan makanan dunia yang semakin meruncing susulan konflik, bencana iklim dan ketidakstabilan ekonomi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan, Malaysia berdiri teguh bersama komuniti antarabangsa mengecam sebarang tindakan yang menjejaskan hak asasi manusia untuk mendapatkan makanan, khususnya di Sudan dan Gaza yang kini berdepan kelaparan teruk.

Mohamad menegaskan Malaysia berdiri teguh bersama komuniti antarabangsa dalam berdepan krisis kemanusiaan terutamanya di Sudan dan Gaza.

“Kita menyeru supaya bantuan kemanusiaan dipergiatkan dan disalurkan segera tanpa halangan, terutama di kawasan dilanda krisis,” katanya menerusi kenyataan sempena 10th Asia Pacific Economic Cooperation Food Security Ministerial Meeting (FSMM) di Incheon, Korea Selatan, baru-baru ini.

Bertemakan Building a Sustainable Tomorrow, FSMM ke-10 menjadi medan penting membincangkan inovasi pertanian dan kerjasama serantau bagi menjamin sistem makanan yang mampan.

Menurut Mohamad, teknologi dan inovasi termasuk kecerdasan buatan (AI) adalah pemacu utama memperkukuh sistem makanan negara dan rantau.

“Kita perlu memperkukuh jaringan kerjasama, menetapkan keutamaan bersama dan mengguna pakai teknologi pintar bagi menjamin keperluan generasi akan datang,” ujarnya.

Bertemakan Building a Sustainable Tomorrow, FSMM ke-10 menjadi medan penting membincangkan inovasi pertanian dan kerjasama serantau bagi menjamin sistem makanan yang mampan.

Di sela mesyuarat, beliau mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar Korea Selatan, Song Miryung untuk membincangkan kerjasama dalam penyelidikan, pemodenan pertanian, pembangunan modal insan dan teknologi pengesanan awal serangan perosak, khususnya tanaman padi.

Beliau turut menjemput Korea Selatan menyertai High-Level Advisory Group (HLAG2025) sempena 4th World Irrigation Forum (WIF4) dan 76th International Executive Council (IEC) Meeting of the International Commission on Irrigation and Drainage (ICID) pada September ini di Kuala Lumpur, serta Pameran MAHA tahun depan.

Delegasi Malaysia turut disertai Chargé d’Affaires Kedutaan Besar Malaysia di Seoul, Nazarudin Ja’afar; Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi dan pegawai kanan kementerian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button